Sokong teguran Sultan Johor – DPPNJ

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyokong penuh teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kepada wakil rakyat negeri itu supaya tidak bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi.

Ketuanya, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata keutamaan sekarang adalah perlunya wakil rakyat berganding bahu menjaga kepentingan rakyat yang sedang susah ketika berhadapan wabak Covid-19.

“Sepatutnya di saat dan ketika ini tumpuan utama yang perlu diberikan adalah kepentingan rakyat yang kini sedang berhadapan dengan wabak Covid-19.

- Advertisement -

“Bukannya masa untuk bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi,” katanya kepada HarakahDaily.

Khamis lalu, Sultan Johor bertitah ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 menasihati semua wakil rakyat negeri itu bahawa sekarang bukan masa untuk bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi.

Sebaliknya berganding bahu membantu rakyat yang sedang susah ketika berhadapan wabak Covid-19.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan akan wujudnya satu virus yang lebih berbahaya iaitu virus perpecahan.

Mengulas lanjut, Nawfal berkata sempena persidangan Dun yang berlangsung dalam bulan Ramadan sewajarnya toleransi yang tinggi sangat diperlukan bagi menghormati bulan yang mulia ini dan bukan masa untuk bergaduh.

Tambahnya lagi, dalam PAS telah sekian lama mempraktikkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang mengutamakan politik rasional berbanding politik maki hamun dan bertikam lidah.

“Selain itu politik untuk kepentingan rakyat. Jadi, dalam keadaan sekarang kepentingan lebih utama adalah kepada rakyat.

“Jadi, DPPNJ menjunjung kasih titah baginda Sultan Johor kerana prihatin dengan situasi semasa khususnya negeri Johor,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 15/5/2020

- Advertisement -