SOP solat jemaah sedang diperhalusi – Menteri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) solat berjemaah di masjid sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

- Advertisement -

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato’ Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri menerusi status Facebooknya yang dimuat naik pada 10 Mei, SOP berkenaan sedang diperhalusi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Insha Allah, selepas SOP ini dimuktamadkan dan dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja selaku Ketua Agama Islam persekutuan dan negeri-negeri untuk diperkenankan, kerajaan akan mengumumkan kebenaran untuk bersolat jemaah di masjid,” tulis Zulkifli.

Ujarnya, beliau amat memahami perasaan umat Islam yang rindu untuk solat Jumaat, solat terawih dan solat lima waktu di masjid.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam sentiasa mendoakan agar keadaan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara beransur semakin baik.

“Dengan pelaksanaan SOP yang teratur, saya percaya masjid-masjid di kawasan ini telah bersedia untuk dibuka kepada ahli-ahli kariah.

“Berikan sedikit masa kepada pihak berkuasa agama Islam untuk memperhalusi SOP yang berkaitan.

“Insya Allah, dalam masa terdekat ini kita boleh menunaikan ibadat kita dengan lebih sempurna dan syiar Islam akan bersinar semula,” katanya.

Pada 8 Mei, beliau memaklumkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5 telah diadakan.

Ia bagi membincangkan Garis Panduan Solat Jumaat PKPB.

Menurutnya garis panduan berkenaan disediakan bagi penelitian para mufti seluruh Malaysia selaku pihak berkuasa agama negeri dan Ahli-ahli dilantik MKI sebagai satu panduan bersama sebelum dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri. – HARAKAHDAILY 12/5/2020

- Advertisement -