Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 18)

- Advertisement -

PENGHAYATAN melalui juzuk 18 hari ini lebih memfokuskan berkenaan cara Allah S.W.T mendidik manusia supaya mereka beriman dengan sepenuhnya dan bersyukur di atas kesempurnaan ciptaan manusia. Allah telah mengurniakan nikmat pancaindera yang meliputi deria mata, telinga, hidung, mulut dan kulit agar manusia dapat menjalani hidup secara sempurna. Nikmat pancaindera ini terlalu bernilai, jika hanya satu sahaja deria manusia tidak berfungsi, ia sudah menjadi cacat atau kelainan upaya. Melalui pancaindera ini, Allah hendak menguji sejauhmana manusia memanfaatkan deria dan hati serta anggota lain dalam mengurus kehidupan berdasarkan tuntutan syariat. Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَهُوَ ٱلَّذِیۤ أَنشَأَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَۚ قَلِیلࣰا مَّا تَشۡكُرُونَ. وَهُوَ ٱلَّذِی ذَرَأَكُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ وَإِلَیۡهِ تُحۡشَرُونَ

“Dan Dia lah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur; tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. Dan Dia lah yang menciptakan serta mengembangkan kamu di bumi dan kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan.”

[al-Mu’minun: 78-79]

Kejadian telinga, mata serta hati manusia sering dibawakan secara selari melalui banyak ayat-ayat al-Quran. Jika telinga manusia tidak dimanfaatkan untuk mendengar perkara baik, mata tidak melihat kebenaran dan hati yang tidak mahu memahami arahan Allah, maka manusia menjadi lebih sesat daripada haiwan. Namun sebaliknya, mereka yang menjaga hati iaitu raja segala anggota, pasti akan selamat. Sementara telinga dan mata menjadi pengawas untuk menyingkirkan keburukan daripada memasuki hati. Oleh itu, Rasulullah S.A.W membuat perumpamaan kepada Sahabatnya Sayyiduna Abu Bakar Al-Shiddiq R.A dan Sayyiduna Umar Al-Khattab R.A seperti telinga dan mata bagi Rasulullah S.A.W. Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam sebuah Hadis:

عن عبدالله بن حنطب: أنَّ رسولَ اللهِ ﷺ رأى أبا بكرٍ وعمرَ فقال: هذانِ السمعُ والبصرُ

“Daripada Abdullah bin Hanthob R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W melihat Abu Bakar R.A dan Umar R.A lalu bersabda: Kedua-dua mereka ini adalah (ibarat) pendengaran dan penglihatan.”

(Riwayat Tirmizi)

Melalui pancaindera, manusia dapat berkomunikasi serta menyalurkan maklumat kepada seseorang dengan mudah. Penglihatan dan pendengaran atau kedua-keduanya serentak berfungsi sebagai pemberi serta penyalur maklumat untuk dinilai oleh hati yang kemudiannya akan mengarahkan akal membuat keputusan. Keajaiban yang ada pada mata dan telinga ini perlu didedahkan dalam masyarakat supaya manusia mensyukuri nikmat yang dikurniakan. Saya masih ingat, pernah Almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kuliahnya ada menyebut:

“Kita nak orang pandai ilmu sains ini, perlu mengajar orang kampung, bagi tahu tentang kebesaran Allah S.W.T lagumana kerja mata, kerja telinga, barulah kita berasa nikmat mata, telinga.”

Anggota tubuh badan dan pancaindera manusia pada hakikatnya ada yang mukhayyar iaitu bertindak mengikut kehendak diri dan yang keduanya ialah Musayyar iaitu bertindak secara automatik tanpa perlu kepada kehendak serta perbuatan manusia. Ketika manusia tidur, siapakah yang menggerakkan degupan jantungnya? Siapakah yang mengalirkan perjalanan darah dalam tubuhnya? Sudah tentulah Allah yang berkuasa atas segalanya. Tiada daya dan kuasa bagi manusia untuk menggerakkannya.

Sama juga dengan kerlipan kelopak mata, ia berlaku spontan tanpa kita mengarahkannya bergerak. Sukar untuk manusia berfikir, bagaimana dan kenapa Allah menggerakkan kelopak mata dengan beberapa kerlipan dalam tempoh seminit umpamanya? Berapa banyak kadar yang munasabah bagi air mata manusia berada antara kelopak mata dengan bola mata? Apa yang bakal terjadi apabila kilang air mata yang berada di hujung mata berdekatan telinga tidak berfungsi? Semua perkara ini terjadi dengan anugerah dan izin Allah, maka manusia hendaklah bersyukur kerana telah diciptakan dengan sempurna melebihi makhluk lain untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Namun, ramai di kalangan manusia yang tidak mahu bersyukur dengan segala nikmat yang sangat menakjubkan ini.
Sebaliknya, ada yang menggunakan pancaindera ke arah kemaksiatan dan melawan kekuasaan Allah S.W.T. Mereka tidak pernah sedar sekiranya Allah hanya menutup kedua lubang telinganya atau membutakan kedua matanya, sudah cukup memeritkan kehidupan di dunia ini. Oleh kerana itu, kita dikehendaki sentiasa melakukan amalan untuk taqarrub kepada Allah setiap ketika supaya Allah bersama-sama kita sama ada dalam kesenangan mahupun kesusahan. Firman Allah S.W.T melalui sebuah Hadis Qudsi:

وما يَزالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إلَيَّ بالنَّوافِلِ حتّى أُحِبَّهُ، فإذا أحْبَبْتُهُ: كُنْتُ سَمْعَهُ الذي يَسْمَعُ به، وبَصَرَهُ الذي يُبْصِرُ به، ويَدَهُ الَّتي يَبْطِشُ بها، ورِجْلَهُ الَّتي يَمْشِي بها، وإنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ، ولَئِنِ اسْتَعاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ

“Dan hamba-Ku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunat) maka Aku akan mencintainya. Jika Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakan untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepada-Ku nescaya akan Aku berikan dan jika dia minta perlindungan daripada-Ku nescaya akan Aku lindungi.”
.


(Riwayat Bukhari)

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
18 Ramadan 1441 / 11 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 11/5/2020

- Advertisement -