Gagasan ekonomi hijau pasca COVID-19

covid
- Advertisement -

BIRO Statistik Buruh Amerika Syarikat melaporkan ekonomi negara Uncle Sam sedang berhadapan kemeruduman terburuk dalam tempoh hampir 80 tahun. Pada tahun 2008 lalu, Amerika telah berhadapan dengan krisis subprima. Mereka merancakkan semula ekonomi dengan mencipta kira-kira 22 juta peluang kerja yang baharu. Kini setelah 12 tahun berlalu, jumlah kes COVID-19 yang telah mencecah 1.3 juta di Amerika atau 33 peratus daripada kes seluruh dunia sedang mencatatkan kadar pengangguran tertinggi sejak 1948 iaitu 14.7 peratus. Lebih kurang 20 juta pekerjaan hilang dalam tempoh dua bulan.

Bulan lalu, International Monetary Fund (IMF) membuat anggaran KDNK baharu. IMF menganggap Great Lockdown 2020 adalah krisis ekonomi terburuk berbanding Great Depression 1929 dan Global Financial Crisis 2008. Anggaran pertumbuhan ekonomi dunia disasarkan pada -3.0 peratus berbanding 2.9 peratus pada tahun 2019. Di negara maju lebih teruk iaitu pada -6.1 peratus, manakala di negara sedang membangun pula -1.0 peratus. Jumlah kumulatif kerugian kepada KDNK global pada tahun 2020 dianggarkan sekitar 9 trilion iaitu lebih kurang kombinasi KDNK Jepun (5 trilion) dan Jerman (4 trilion).

- Advertisement -

Pelan Pemulihan atau Pembinaan Semula?

Kebanyakan penganalisis dan pakar ekonomi meramalkan beberapa pelan pemulihan ekonomi berdasarkan beberapa bentuk. Paling optimistik ialah Z-Shaped, manakala paling pesimistik ialah L-Shaped. Namun, kebarangkalian boleh juga berlaku dalam bentuk V-Shaped dan U-Shaped. Semua ini bergantung kepada sejauhmana tindakan balas permintaan dan penawaran pelbagai sektor. Walau bagaimanapun, perspektif baharu yang dikemukakan oleh Nobel Laureate, Muhammad Yunus lebih menarik. Pemulihan ekonomi bergantung kepada soalan yang akan dikemukakan.

“Do we take the world back to where it was before the crisis or do we redesign the world?”

Bertanya soalan yang betul adalah sebahagian daripada jawapan. Pilihan ada pada diri kita sendiri sama ada kita mahu kembali kepada norma ekonomi sebelum krisis atau membuka lembaran ekonomi baharu (tabula rasa). Ekonomi sepertimana politik ialah alat (means) untuk mencapai matlamat lebih besar. COVID-19 memaksa hampir seluruh negara berada dalam mod ‘lockdown’ dan pada masa yang sama memulih ekosistem persekitaran dunia. Oleh sebab itu, World Economic Forum telah mula mendiskusikan lebih banyak kebarangkalian ‘planetary crises’ akan datang.

COVID-19 adalah ‘wake-up call’. Perencanaan ekonomi baharu bukan bersifat reaktif kepada bencana sosial, sebaliknya bersifat adaptasi dan mitigasi. Ia bukan perkara asing bahkan pernah diuar-uarkan dalam dekad 1980-an. Satu laporan khas, Laporan Brundtland telah dikemukakan pada tahun 1987 ekoran daripada World Commission on Environment and Development (WECD) 1983. Ia disiapkan dalam keadaan dunia berhadapan dengan beberapa bencana sosial antaranya kemarau di Afrika, letupan reaktor nuklear di Chernobyl, kebocoran gas kimia di Bhopal dan pencemaran sisa toksik di Rhine River.

Laporan Brundtland 1987 juga telah mendefinisikan ‘sustainable development’ secara tuntas iaitu, “development that meets the needs of the present without compromising the ability of future generations to meet their own needs”. Susulan itu muncul satu lagi laporan yang digarap oleh London Environmental Economic Centre (LEEC) kolaborasi bersama Department of Economics of University College London untuk diserahkan kepada Department of Environment United Kingdom sebagai respons kepada Laporan Brundtland.

Laporan yang dinamakan sebagai Blueprint for a Green Economy 1989 (The Pearce Report) bertujuan untuk menzahirkan peranan ekonomi alam sekitar dalam mencorak pembangunan negara dan mengangkat tema ‘sustainable development’. Sekarang bukan lagi menuju ke arah agenda pemulihan (recovery) tetapi agenda pembinaan semula (reconstruction) ekonomi baharu. Kemanusiaan dan kelestarian alam harus menjadi ‘centre stage’, bukan atas faktor ekonomi atau keuntungan semata-mata. Ia mesti berubah. Sekarang.

Kesatuan Eropah pada akhir tahun 2019 telah melancarkan The European Green Deal sebagai ‘roadmap’ untuk menjadikan Eropah sebagai benua pertama menuju ke arah ‘climate-neutral’. Setakat ini 17 daripada 27 negara dalam Kesatuan Eropah berikrar untuk menjadikan European Green Deal sebagai agenda utama pembinaan semula ekonomi di rantau itu. Tidak ketinggalan Parti Demokratik Korea Selatan yang memenangi pilihan raya pertengahan April 2020 juga telah bersedia untuk mencanai sebahagian manifesto mereka yang berteraskan The Green New Deal (EU style).

Lebih menarik International Mother Earth Day pada 22 April 2020 lalu berlaku ketika dunia berada di kemuncak pandemik COVID-19. Maka, enam poin utama ‘climate related actions’ yang terkandung dalam ucapan Setiausaha Agung PBB harus diteliti secara serius. Transisi daripada ‘Grey Economy’ kepada ‘Green Economy’ mesti menjadi agenda bersama. Paling penting, apa pilihan Malaysia?

MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN – HARAKAHDAILY 11/5/2020

- Advertisement -