Pesona liabiliti

pesona
- Advertisement -

ILMU kewangan ialah ilmu yang penuh dengan emosi dan bersifat peribadi. Belum pernah ayah saya dedahkan jumlah keseluruhan liabiliti beliau walhal itulah yang disebut-sebut orang sebelum nanti jenazah dibawa pergi.

Dalam tulisan terdahulu saya hadkan liabiliti hanya bermaksud hutang. Saya juga nyatakan bagaimana bank bijak memperagakan produk mereka yang akhirnya bertukar menjadi liabiliti anda. Dalam tulisan kali ini, mari kita lihat pula maksud sebenar liabiliti.

Tawaran liabiliti

Apabila bank tawarkan ‘bayaran awal’ supaya anda boleh menikmati segala kemudahan sepanjang pelancongan, apa yang tinggal selepas itu? Jawapannya, yang tinggal ialah kenangan. Liabiliti juga kekal selagi anda belum habis bayar hutang bank.

- Advertisement -

Apabila bank tawarkan ‘bayaran ansuran’ supaya anda boleh memandu pulang kereta baru, apa yang tinggal selepas itu? Jawapannya, yang tinggal ialah kereta dan liabiliti.

Apabila bank tawarkan duit supaya anda boleh membeli itu dan ini, apa yang tinggal selepas itu? Jawapannya bergantung kepada cara anda belanjakan duit itu. Di samping liabiliti, barangkali yang tinggal ialah kenangan. Barangkali yang tinggal ialah suatu benda fizikal.

Daripada tiga (atau lebih tepatnya dua) situasi di atas, liabiliti manakah yang paling menguntungkan? Pasti ramai akan kata situasi kedua. Sebab sekurang-kurangnya anda ada benda yang kekal di depan mata iaitu kereta. Habis bayar hutang kereta, habislah liabiliti.

Kereta ialah liabiliti

Sebelum saya teruskan, suka saya ingatkan bahawa ‘akaun bajet’ bukan pesaing kepada ilmu perakaunan. ‘Akaun bajet’ saya memang tidak terikat dengan prinsip ilmu perakaunan. Jika anda berlatar belakangkan ilmu perakaunan, anggap saja ‘akaun bajet’ ini ialah perakaunan ‘main-main’ untuk golongan marhaen.

Berbalik kepada cerita kereta tadi, sekali pun anda habis bayar hutang bank, kereta itu masih dianggap sebagai liabiliti. Ya, saya tak tersalah taip. Kereta ialah liabiliti sekali pun anda sudah habis bayar hutang bank.

Sebab apa? Rujuk semula maksud liabiliti dalam artikel bertajuk Liabiliti: Lampu Ajaib Zaman Moden. Liabiliti bermaksud tanggungan kewangan. Liabiliti ialah kembar kepada duit keluar. Apabila ada liabiliti, bermakna akan ada duit keluar.

Sekali pun anda sudah habis bayar hutang, kereta itu masih menarik duit keluar. Belanja petrol, tukar tayar, baiki enjin dan cukai jalan ialah sekadar beberapa contoh duit keluar disebabkan kereta itu tadi.

Habis itu sampai matilah anda tanggung liabiliti? Kalau anda masih ingat saya pernah sebut, ‘hidup mungkin sempurna tanpa hutang. Tapi hidup tak akan sempurna tanpa liabiliti.’ Memiliki liabiliti tak salah. Yang bermasalah (dari sudut pengurusan kewangan) terletak pada tujuan anda berhutang.

Hutang yang buruk

Sekali pun anda berhutang melalui perbankan Islam, hutang kereta tadi masih dianggap buruk dari sudut pengurusan kewangan. Ini kerana anda berhutang untuk tujuan memiliki suatu benda yang menarik keluar duit anda. Hutang sebegini dipanggil sebagai hutang yang buruk (bad debt).

Dalam kepincangan sistem kewangan hari ini, saya akui anda tidak ada alternatif. Bahkan ia dianggap normal. Kalau anda tak berhutang, sampai bila pun anda tak boleh miliki kereta. Saya tidak mahu sentuh panjang lebar isu ini sebab saya suka fokus pada perkara yang saya boleh kawal.

Pilih liabiliti yang rendah atau liabiliti yang tinggi. Itu dalam kawalan saya. Kalau dulu saya bekerja sebagai guru, saya naik kereta Perodua Viva. Ketika saya menjawat jawatan sebagai pensyarah, adakah saya sanggup kekal naik Perodua Viva? Itu persoalannya.

Mampu bayar ansuran

Atas alasan ‘mampu’, realitinya semakin tinggi gaji maka semakin tinggi nilai liabiliti yang sengaja ditanggung. Akibatnya ialah pada aliran tunai, baki duit simpanan dan perancangan masa depan. Dengan kata lainnya, anda melengkapkan strategi bank sedangkan anda sendiri tidak ada strategi kewangan peribadi.

Pesona liabiliti memang banyak di depan mata. Terpulang kepada anda untuk mengambilnya atau tidak berdasarkan ilmu yang ada. Memang itu pun realiti di dunia. Saya tinggalkan anda dengan potongan ayat al-Quran di bawah:

فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيٰوةُ الدُّنْيَا

“Janganlah sekali-kali kamu diperdaya oleh kehidupan dunia.”

(Luqman: 33).

HASNAN AB – HARAKAHDAILY 10/5/2020

*Penulis ialah bekas pensyarah di bidang Muamalat dan Pengajian Islam. Kini berkecimpung sepenuh masa sebagai usahawan. Ikuti pandangan beliau berkaitan pengurusan kewangan di http://www.facebook.com/abambajett

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -