Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (49)

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنزٌ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنزَهُمَا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ۚ ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا

“Adapun tembok itu pula, ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu dan di bawahnya ada ‘harta terpendam’ kepunyaan mereka. Bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan mengenai maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.”

Ibrah akhir zaman

(1) Harta karun di Sungai Furat dan Kaabah

Watak-watak dalam kisah ini berkait antara satu sama lain. Menurut As-Sya`rawi, oleh kerana perangai penduduk kota tersebut yang sangat kedekut, dikhuatiri mereka juga tamak. Sekiranya harta anak yatim itu terbongkar, tidak ada jaminan ia akan selamat dari kerakusan penduduk kota itu.

Ini sebenarnya gambaran manusia hari ini akibat terpengaruh dengan ideologi Materialisme. Ideologi ini timbul bermula kebangkitan revolusi industri pertama di Eropah kurun ke-15. Manusia yang fitrahnya sukakan kenikmatan dunia melihat revolusi industri sebagai pemangkin kekayaan. Akhirnya Barat melancarkan aktiviti penjajahan bagi mencari bahan mentah dan sumber alam di seluruh dunia bagi memenuhi keperluan industri.

Kita masih melihat ketamakan itu berlarutan ke hari ini. Dengan perindustrian yang sudah melangkah ke revolusi keempat (IR4.0), negara yang terkehadapan dalam revolusi ini seperti China dan Israel semakin galak mencatur agenda geo-politik serantau. Israel masih aktif menyerang Gaza, Lubnan, Syria dan Iraq. China pula semakin rakus menuntut hak pemilikan Laut China Selatan. COVID-19 yang sedang melanda dunia langsung tidak melunturkan sifat tamak dan rakus daripada hati mereka.

Kita akan terus melihat perkara ini semakin dahsyat di masa akan datang. Nabi S.A.W menyatakan bahawa akan berlaku perang di sekitar Sungai Furat kerana berebutkan emas. Dijangka emas akan kembali menjadi pengukur nilai utama ekoran sistem petrodollar semakin tidak stabil (rujuk ayat 74-76: Fitnah Pembunuhan).

Mereka yang kononnya menjadi pejuang Islam dari serata dunia atas nama IS, al-Qaeda atau seumpamanya harus sedar sebenarnya mereka dipergunakan untuk memenuhi nafsu pihak berkepentingan. Lihatlah lokasi kumpulan-kumpulan ini, kebanyakannya berfokus di kawasan yang memiliki telaga minyak seperti di Syria dan Iraq, dan laluan strategik seperti di Aden.

Hampir kiamat, manusia sekali lagi akan mempamerkan kejahatan mereka apabila sanggup meroboh Kaabah kerana percaya terdapat harta di bawahnya. Sabda Rasulullah S.A.W:

يُبَايَعُ لِرَجُلٍ مَا بَيْنَ الرُّكْنِ ‏‏وَالْمَقَامِ ،‏ ‏وَلَنْ يَسْتَحِلَّ ‏‏الْبَيْتَ ‏إِلَّا أَهْلُهُ ، فَإِذَا اسْتَحَلُّوهُ فَلَا يُسْأَلُ عَنْ هَلَكَةِ ‏‏الْعَرَبِ،‏ ‏ثُمَّ تَأْتِي ‏الْحَبَشَةُ ‏‏فَيُخَرِّبُونَهُ خَرَابًا لَا يَعْمُرُ بَعْدَهُ أَبَدًا، وَهُمْ الَّذِينَ يَسْتَخْرِجُونَ كَنْزَهُ

“Seorang lelaki (Imam Mahdi) bakal dibaiah di antara Rukn Hajr Aswad dan Maqam Ibrahim. Baitullah tidak akan dibebaskan melainkan oleh penduduknya. Maka apabila dibebaskan maka tidak akan ditanya mengenai kebinasaan Arab. Kemudian akan datang kaum Habsyah lalu meruntuhkannya sehingga tidak dapat dibina sesiapa lagi. Merekalah yang akan mengeluarkan khazanah Kaabah.”

[Hadis Riwayat Ahmad]

(Rujuk buku Geoskatologi bagi memahami perkara ini)

(2) Kemunculan Nabi Khadir di akhir zaman

Selain kenabian Khadir, persoalan mengenai jangka hayat Baginda A.S juga menjadi perbahasan ulamak. Ibn Kathir menukilkan bahawa An-Nawawi dan Ibn Solah berpandangan Baginda akan hidup hingga kiamat. Ibn Abdul Barr meriwayatkan, Saidina Ali mengatakan seorang lelaki tidak dikenali mendatangi para Sahabat ketika kewafatan Rasulullah S.A.W dan mengucapkan takziah kepada mereka. Para Sahabat berpandangan beliau adalah Nabi Khadir. Namun sanadnya daif menurut Ibn Kathir.

Sepanjang sejarah, terdapat ramai ulamak Ahlu Sunnah yang mendakwa telah bertemu Nabi Khadir di hadapan mata secara sedar (yaqozoh) termasuklah di kalangan ulamak Tanah Melayu. Salah seorang masih hidup ketika buku ini ditulis. Namun identitinya tidak perlu didedahkan bagi mengelakkan polemik yang tidak diingini.

Al-Qurtubi berpandangan Baginda akan terus hidup hingga bertemu Dajal dan dialah lelaki yang akan menghadap Dajal dan mendedahkan identiti sebenar Dajal yang menyamar sebagai tuhan. Sabda Rasulullah S.A.W:

يَأْتِي الدَّجَّالُ ، وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْهِ أَنْ يَدْخُلَ نِقَابَ المَدِينَةِ ، فَيَنْزِلُ بَعْضَ السِّبَاخِ الَّتِي تَلِي المَدِينَةَ ، فَيَخْرُجُ إِلَيْهِ يَوْمَئِذٍ رَجُلٌ ، وَهُوَ خَيْرُ النَّاسِ – أَوْ مِنْ خِيَارِ النَّاسِ – فَيَقُولُ أَشْهَدُ أَنَّكَ الدَّجَّالُ الَّذِي حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدِيثَهُ ، فَيَقُولُ الدَّجَّالُ: أَرَأَيْتُمْ إِنْ قَتَلْتُ هَذَا ، ثُمَّ أَحْيَيْتُهُ ، هَلْ تَشُكُّونَ فِي الأَمْرِ؟ فَيَقُولُونَ: لاَ ، فَيَقْتُلُهُ ثُمَّ يُحْيِيهِ ، فَيَقُولُ: وَاللَّهِ مَا كُنْتُ فِيكَ أَشَدَّ بَصِيرَةً مِنِّي اليَوْمَ ، فَيُرِيدُ الدَّجَّالُ أَنْ يَقْتُلَهُ فَلاَ يُسَلَّطُ عَلَيْهِ

“Dajal datang dan diharamkan baginya memasukinya terowong ke Madinah, maka dia pergi ke beberapa kawasan bergaram berhampiran Madinah, maka pada suatu hari seorang lelaki yang dikira sebaik-baik manusia pada waktu itu pergi kepada Dajal lalu berkata: aku bersaksi bahawa kamulah Dajal yang Rasulullah S.A.W ceritakan pada kami! Lalu Dajal membalas dengan berkata kepada pengikutnya: Sekiranya aku membunuh dia, kemudian aku hidupkannya kembali, adakah kalian akan meragui diriku? Jawab pengikutnya, tidak. Maka Dajal membunuhnya dan menghidupkannya kembali. Lelaki itu berkata: Demi Allah, semakin jelas benarnya bahawa kamu adalah Dajal! Lalu Dajal ingin membunuhnya semula tetapi tidak lagi mampu.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Secara logiknya, perbuatan yang dilakukan oleh lelaki itu menunjukkan dia bukan lelaki biasa. Ini kerana Nabi S.A.W berpesan agar melarikan diri apabila berhadapan dengan Dajal. Orang yang sengaja mendatangi Dajal, pasti akan menjadi pengikutnya. Sabda Rasulullah S.A.W:

مَنْ سَمِعَ بِالدَّجَّالِ فَلْيَنْأَ عَنْهُ فَوَاللَّهِ إِنَّ الرَّجُلَ لَيَأْتِيهِ وَهُوَ يَحْسِبُ أَنَّهُ مُؤْمِنٌ فَيَتَّبِعُهُ مِمَّا يَبْعَثُ بِهِ مِنْ الشُّبُهَاتِ أَوْ لِمَا يَبْعَثُ بِهِ مِنْ الشُّبُهَاتِ

“Barangsiapa mendengar mengenai Dajal maka hendaklah dia menjauhkan diri daripadanya. Demi Allah, terdapat seorang lelaki cuba mendatanginya lalu menganggap dia sebagai orang beriman, lalu mengikutinya atas kekeliruan yang dibawa atau diutuskannya.”

[Hadis Riwatat Abu Daud]

Usia panjang Khadir A.S bukanlah sesuatu yang aneh. Awal surah ini mengisahkan mengenai Ashabul Kahfi yang dipanjangkan usia hingga 309 tahun. Hadis daripada Tamim Ad-Dari mengatakan bahawa Dajal sebagai manusia biasa telah wujud sejak zaman Nabi S.A.W (rujuk ayat 63: Pakatan Syaitan dan Dajal).

Benar atau tidak Baginda masih hidup bukanlah perbahasan utama. Apa yang penting bagi umat ini adalah jangan sesekali berharap untuk menyaksikan perkara ini. Ia bukan seperti menonton wayang. Fitnah pada situasi tersebut sangat dahsyat. Tanpa akidah mantap dan rohani bersih, sesiapa sahaja boleh terpesong.

ALANG IBN SHUKRIMUN
14 Ramadhan 1441
7 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 7/5/2020

- Advertisement -