YB Razman sumbang katil mudah laras

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Keresahan seorang suami memikirkan ujian kesihatan dihidapi isterinya kini beransur lega setelah mendapat perhatian Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol. 

- Advertisement -

Nazmi Jumri, 45 berkata, isterinya Nani Azlina Md Isa, 43, telah sekian lama diuji dengan pelbagai penyakit antaranya darah tinggi, kencing manis dan kegagalan fungsi buah pinggang.

Difahamkan, Nazmi hanya bekerja sebagai penjual burger dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,000, sedangkan isterinya perlu kerap berulang alik ke hospital menjalani dialisis sejak lapan tahun lalu.

Namun begitu adu beliau, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, pendapatan bulanannya terjejas kerana tidak dapat meneruskan kegiatan itu.

Bertindak atas aduan mengenai kekangan dialami ketua keluarga itu, ADUN Gunung Semanggol,  Razman Zakaria hadir menziarahi Nazmi di Kampung Belakang Pekan, Bukit Merah, di sini semalam.

“Saya amat hiba melihat keadaan isterinya yang uzur kerana diuji dengan ujian kesihatan ini. Semoga sedikit sumbangan daripada pihak kami dapat mengurangkan bebanan mereka berdua,” ujar Razman.

Di kesempatan itu, Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol telah menyampaikan sumbangan sebuah katil mudah laras bagi menyediakan ruang keselesaan buat pesakit buah pinggang itu.

Sumbangan barangan keperluan makanan asas dapur dan wang tunai juga telah disampaikan kepada pasangan itu bagi membantu meringankan sedikit sebanyak perbelanjaan mereka di musim PKP ini.

Turut hadir mengiringi Razman ialah Yang DiPertua Kawasan PAS Bagan Serai, Ustaz Abdul Aziz Abdul Majid berserta Ahli Jawatankuasa Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol. – HARAKAHDAILY 5/5/2020

- Advertisement -