Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (40)

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ ۚ فَارْتَدَّا عَلَىٰ آثَارِهِمَا قَصَصًا

“Nabi Musa berkata: “Itulah yang kita kehendaki!”. Merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.”

فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا

“Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu dari sisi Kami.”

Intisari penting

(1) Ilmu ladunni

Ladunna (لدنّا) adalah gabungan perkataan (لَدَي) bermaksud di sisi dan (نَا) bererti kami. Daripada ayat ini, ulamak tasawuf menjenamakan satu ilmu yang khusus daripada Allah dikenali sebagai ilmu ladunni. Imam Al-Iji menyatakan ilmu ini diperolehi bukan dengan wasilah biasa seperti belajar dan membaca. Menurut satu pendapat nukilan Imam An-Nasafi, Ia adalah ilham daripada Allah. Al-Qurtubi menamakan sebagai ilmu ghaib. Manakala Al-Baghawi pula menggelarkan sebagai ilmu batin.

Ibn Qayyim meletakkan ilmu ladunni sebagai ilmu peringkat ketiga selepas ilmu jali dan ilmu khafi. Menurut beliau, ilmu ladunni terhasil daripada pengabdian diri kepada Allah dan mematuhi segala ajaran-Nya, benar dan ikhlas kepada-Nya, bersungguh dalam menuntut ilmu daripada sunnah Rasulullah S.A.W dan mengikuti Baginda sepenuhnya.

Ilmu ladunni yang sebenar adalah ilmu dari sisi Allah yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunnah. Jika sebaliknya, maka ia adalah dari sisi nafsu dan syaitan. Bak kata Saidina Ali ketika ditanya adakah Nabi S.A.W mengkhususkan kepada beliau ilmu-ilmu tertentu yang tidak diperolehi orang lain, beliau menjawab:

“Demi Allah, tidak. Melainkan kefahaman yang Allah beri kepada hambaNya daripada kitab-Nya (al-Quran).”

Ibnu Qayyim membahagikan ilmu ladunni kepada dua jenis:

(1) Ilmu ladunni rahmani: Hasil daripada mematuhi syariat dan melakukan amalan sunat selepas menyempurnakan fardu.

(2) Ilmu ladunni syaitani: Hasil daripada membelakangi syariat dan mengikut nafsu serta syaitan.

Ibrah akhir zaman

Kita berada pada zaman tidak ada lagi Nabi bagi memandu kita dengan wahyu yang segar turun menyelesaikan setiap masalah yang berlaku. Apa yang tinggal kepada kita hanyalah kitab al-Quran dan Sunnah pengajaran Nabi Muhammad S.A.W (rujuk tajuk ayat 27: Batu Besar Yang Tidak Mampu Dihancurkan Sesiapa)

Walaupun tidak ada lagi ilmu wahyu yang turun di akhir zaman ini, namun, Allah menetapkan ulamak-ulamak sebagai pewaris ilmu para Nabi. Sabda Rasulullah S.A.W:

وإنَّ الْعُلَماءَ وَرَثَةُ الأنْبِياءِ وإنَّ الأنْبِياءَ لَمْ يُورِّثُوا دِينَاراً وَلا دِرْهَماً وإنَّما ورَّثُوا الْعِلْمَ، فَمنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحظٍّ وَافِرٍ

“Ulamak adalah pewaris Nabi. Para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya maka dia telah mengambil peruntukkan yang besar.”

[Hadis Riwayat Tirmizi]

Wahyu dan ilmu ladunni (revelation) memiliki persamaan dari sudut kedua-duanya diperolehi bukan dari jalan biasa seperti membaca dan belajar. Ia adalah langsung daripada tuhan. Maka pada akhir zaman yang sudah terputus wahyu dan cabaran yang sangat getir ini, suluhan ilmu ladunni adalah sangat penting.

Nabi S.A.W menyatakan beberapa Hadis yang berkaitan dengan ilmu ladunni. Antaranya sabda Rasulullah S.A.W:

لَمْ يَبْقَ مِنَ النُبُوَّة إِلاَّ المبُشِّراتُ. قالوا: وَمَا المُبشِّراتُ؟ قَالَ: الُّرؤْيَا الصَّالِحةُ

“Tidak akan wujud lagi unsur kenabian melainkan mubashshirat.” Sahabat bertanya apakah mubashshirat? Sabda Baginda: “mimpi yang benar”

[Hadis Riwayat Bukhari]

Bahkan disebut secara jelas panduan akhir zaman melalui ilmu ladunni ini. Sabda Rasulullah S.A.W:

اذَا اقتَربَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ رُؤْيَا الُمؤْمن تَكذبُ، وَرُؤْيَا المُؤْمِنِ جُزْءٌ منْ ستَّةٍ وَأرْبَعيَنَ جُزْءًا مِنَ النُبُوةِ

“Apabila dekatnya kiamat, hampir semua mimpi orang beriman bukan lagi dusta. Mimpi orang beriman adalah sebahagian dari 46 bahagian kenabian.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Bukan sahaja melalui mimpi bahkan juga melalui firasat. Sabdanya:

اتَّقوا فِرَاسَة المؤمن فإنَّه ينظر بنور الله

“Takutlah terhadap firasat orang beriman kerana mereka melihat dengan cahaya Allah.”

[Hadis Riwayat Tirmizi]

Keperluan memiliki ilmu ini adalah ekoran terlalu banyak fitnah kekeliruan yang berlaku di akhir zaman (rujuk tajuk ayat 9 dan 10: Matang Berfikir Elak Tipu Daya Dajal). Tanpa panduan daripada Allah, agak sukar untuk mengenal pasti kebenaran dan kebatilan. Walaupun al-Quran dan Hadis telah wujud, ia lebih kepada asas dan bersifat panduan umum. Banyak perkara-perkara kecil dan khusus yang memerlukan pencerahan secara lebih teliti.

Antara contohnya adalah menentukan siapakah Dajal, Imam Mahdi, Yakjuj Makjuj dan Nabi Isa A.S yang sebenar. Walaupun ada Hadis-hadis yang boleh menjadi panduan, tetapi watak mereka boleh sahaja dipalsukan. perkara seperti rupa fizikal yang dinyatakan boleh sahaja ditiru dan peristiwa yang bakal berlaku boleh sahaja dilakonkan. Justeru tanpa panduan Ilahi, tentu sekali sukar menentukannya.

Juga berkait dengan Sabda Rasulullah:

مَعَهُ نَهْرَانِ يَجْرِيَانِ أَحَدُهُمَا رَأْيَ الْعَيْنِ مَاءٌ أَبْيَضُ وَالآخَرُ رَأْيَ الْعَيْنِ نَارٌ تَأَجَّجُ ، فَإِمَّا أَدْرَكَنَّ أَحَدٌ فَلْيَأْتِ النَّهْرَ الَّذِي يَرَاهُ نَارًا وَلْيُغَمِّضْ ثُمَّ لْيُطَأْطِئْ رَأْسَهُ فَيَشْرَبَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مَاءٌ بَارِدٌ

“Di tangan Dajal terdapat dua sungai. Salah satunya sungai berair jernih dan satu lagi berupa api yang marak. Sekiranya kamu sempat pada zaman itu maka pergilah ke arah sungai yang berupa api itu. Tutuplah mata dan tenggelamkan kepala lalu minumlah darinya. Sesungguhnya itu adalah air yang sejuk.”

[Hadis Riwayat Muslim]

Hadis ini merupakan simbolik kepada tipu daya Dajal di akhir zaman. Beliau boleh memanipulasi pancaindera kita sehingga daya penilaian zahir kita menjadi terbalik. Baik dilihat jahat dan jahat dilihat baik. Beliau memutar kebenaran menjadi palsu dan kepalsuan menjadi benar (rujuk tajuk ayat 4: Dajal ikon Post-Truth). Maka perlunya kita untuk memiliki ilmu tambahan yang boleh melihat hakikat kebenaran dengan sebenar-benarnya.

Namun ilmu ladunni ini secara konsepnya bercanggah dengan epistemologi sains moden yang berasaskan pembuktian (evidence base) melalui kajian empirikal dan logikal. Jika kita menerima ilmu ladunni, maka bersedialah kita untuk berhadapan dengan golongan Saintisme yang telah disampuk pemikiran Sekularisme sehingga perkara melibatkan kepercayaan dan ketuhanan (teologi) juga hendak dicerap melalui sains (rujuk tajuk ayat 47-49: Eskatologi Menurut Saintisme dan Positivisme).

Walau bagaimanapun, ilmu ladunni tidak boleh dianggap setaraf dengan nas al-Quran dan Hadis apatah lagi jika ia bercanggah dengan keduanya. Ia sekadar panduan dalam menjernihkan kekeliruan, berbentuk karamah terhadap para auliya`. Ia bukan sumber dalam menentukan hukum halal haram. Bahkan dibimbangi kita terkeliru antara ilmu ladunni rahmani dan syaitani.

ALANG IBN SHUKRIMUN
4 Ramadhan 1441
27 April 2020 – HARAKAHDAILY 27/4/2020

- Advertisement -