Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 4)

- Advertisement -

KUPASAN ayat kali ini menyentuh tentang cabaran dan dugaan yang dilalui orang beriman kesan pengkhianatan puak munafik yang turut berada dalam kelompok umat Islam. Golongan munafik ini sering menganggu urusan pentadbiran negara, urusan peperangan dan hal-hal strategi pasukan tentera Islam.

- Advertisement -

Orang-orang beriman sentiasa sangka baik terhadap mereka sedangkan mereka pura-pura baik ketika bersama dan dibelakang mereka lanyak serta membuat fitnah dengan pelbagai hasutan. Kisah munafik ini Allah nyatakan melalui banyak ayat-ayat Al-Quran antaranya:

هَـٰۤأَنتُمۡ أُو۟لَاۤءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا یُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَـٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوۤا۟ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡا۟ عَضُّوا۟ عَلَیۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَیۡظِۚ قُلۡ مُوتُوا۟ بِغَیۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِیمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ

Maksudnya: “Inilah kamu, terlalu kamu menyukai mereka padahal mereka tidak menyukaimu. kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: Kami beriman, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah kepada kamu, katakanlah (wahai Muhammad): Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada”.

[Aal-Imran: 119]

Sejarah telah merakamkan pengkhianatan puak munafik dalam perang Uhud sehingga memporak-perandakan tentera Islam. Abdullah bin Ubai berperanan mempengaruhi lebih kurang 300 orang tentera sehingga mereka berpatah balik tidak mahu berangkat menuju ke Uhud akibat alasan yang sengaja dicipta kononnya Rasululullah SAW tidak menerima pandangan ketua munafik itu.

Padahal ketakutan yang ada pada mereka terhadap musuh lebih besar daripada alasan tersebut. Puak munafik sememangnya tidak suka apabila orang beriman mendapat kemenangan. Apabila orang beriman mula dilanda masalah dan kekalahan lantas golongan munafik terus gembira dan kalangan mereka secara jelas menunjukkan permusuhan serta mula berpihak kepada musuh Islam. Hal ini sebagaimana dinyatakan melalui firman Allah:

إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةࣱ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَیِّئَةࣱ یَفۡرَحُوا۟ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ لَا یَضُرُّكُمۡ كَیۡدُهُمۡ شَیۡـًٔاۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا یَعۡمَلُونَ مُحِیطࣱ

Maksudnya: “Kalau kamu beroleh kebaikan (maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertakwa, maka tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka lakukan”.

[Aal-Imran: 120]

Abdullah bin Ubai turut menghasut dua kumpulan lain, iaitu Bani Harithah yang bersama dengan suku Aus dan Bani Salamah yang bersama dengan suku Khazraj supaya menarik diri untuk berperang. Bagaimanapun, Allah mengembalikan semangat kedua-dua kumpulan ini yang agak tergugat keberanian mereka setelah Rasulullah SAW memotivasikan mereka. Peristiwa ini dinyatakan dalam firman Allah:

إِذۡ هَمَّت طَّاۤىِٕفَتَانِ مِنكُمۡ أَن تَفۡشَلَا وَٱللَّهُ وَلِیُّهُمَاۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡیَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ

Maksudnya: (Ingatlah) ketika dua puak daripada kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal”.

[Aal-Imran: 122]

Rasulullah SAW telah mengajar kita melalui peristiwa di Uhud apabila sesuatu keputusan telah di ambil hasil persetujuan yang telah disepakati, maka kepatuhan sepenuhnya hendaklah diberikan dengan bertawakal serta menyerah sepenuhnya urusan kepada Allah SWT.

Apa yang berlaku selepas itu adalah menjadi hikmah dan pengajaran yang amat berguna kepada kita sebagaimana yang terjadi kepada pasukan pemanah yang melanggar arahan. Kita juga hendaklah berhati-hati dengan golongan munafik yang sentiasa berusaha membuat hasutan untuk membenci penegak kebenaran.

Oleh itu, Rasulullah SAW mengajar kita supaya berwaspada dalam segala urusan khasnya urusan pentadbiran dan strategi melibatkan umat Islam. Sudah pasti adanya tangan-tangan ghaib yang secara tidak langsung berusaha untuk menggagalkan pentabiran berpaksikan prinsip-prinsip Islam.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
04 Ramadhan 1441 / 27 April 2020 – HARAKAHDAILY 27/4/2020

- Advertisement -