UMK sasar dana Ihya Ramadan RM100,000

Prof Dato’ Ts. Dr Noor Azizi Ismail menyampaikan sumbangan Jelajah Sinar Ramadan kepada asnaf sekitar UMK Bachok.
- Advertisement -

BACHOK: Pusat Islam Universiti Malaysia Kelantan (PIUMK) menyasarkan kutipan sebanyak RM100,000 Tabung Ihya Ramadan bagi memastikan program yang dirangka dapat dicapai pada Ramadan tahun ini.

Dana tersebut akan digunakan untuk persiapan Iftar Ramadan dan sahur kepada pelajar yang masih berada di kolej kediaman ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Naib Canselor UMK, Prof Dato’ Ts. Dr Noor Azizi Ismail berkata, setiap kali tiba Ramadan, Tabung Ihya Ramadan dilancarkan bagi menggerakkan aktiviti sepanjang bulan tersebut.

- Advertisement -

Katanya, sambutan Ramadan tahun ini sedikit berbeza kerana berlangsungnya PKP berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Pada tahun ini PIUMK menyasarkan RM100,000 untuk menampung pelbagai aktiviti yang telah dirangka sepanjang bulan Ramadan.

“Tabung ini dihebahkan kepada seluruh warga UMK dan masyarakat luar bagi sama-sama menyumbang sempena bulan Ramadan.

“Sumbangan Tabung Ihya Ramadan juga boleh disalurkan secara atas talian untuk memberi kemudahan kepada penderma,” katanya pada Ceramah Khas Kedatangan Ramadan 1441H dan Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadan serta Bantuan Zakat UMK COVID 19@Ramadan, di Pejabat PIUMK, UMK Bachok kelmarin.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof Ts Dr Zaliman Sauli dan Pengarah PIUMK Prof Madya Dr Azhar Muhammad.

Pada majlis sama Dr Noor Azizi turut menyempurnakan penyerahan bantuan zakat UMK Covid-19@Ramadan kepada pelajar UMK dan pekerja kontrak pembersihan.

Beliau turut menyampaikan sumbangan Jelajah Sinar Ramadan kepada asnaf sekitar UMK Bachok.- HARAKAHDAILY 22/4/2020

- Advertisement -