PKP: Jumlah tangkapan menurun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Memasuki hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang bermula semalam menunjukkan berlakunya penurunan jumlah tangkapan.

- Advertisement -

Menteri Kanan (Keselamtan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam pihak polis telah menahan 562 individu yang melanggar PKP melalui sekatan jalan raya dan rondaan berbanding 583 pada hari sebelumnya.

“Ini menunjukkan sebanyak 3.6 peratus penurunan jumlah tangkapan. Ia trend yang sangat baik kerana rakyat mulai sedar tanggungjawab mereka terhadap arahan kerajaan.

“Namun, pihak polis masih menunaikan tanggungjawab mereka yang mana sekatan jalan raya dan tangkapan masih diteruskan bagi memastikan keseluruhan rakyat mematuhi arahan,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun katanya, masih terdapat segelintir yang masih degil dan ingkar arahan PKP.

Jelasnya, sepanjang tempoh PKP dilaksanakan seramai 4,189 individu telah ditahan dan sebanyak 1,449 daripadanya kini dituduh di mahkamah.

Menurutnya, ada di kalangan mereka dijatuhkan hukuman bukan sahaja denda tetapi penjara selama 8 bulan kerana ingkar dan melawan pihak berkuasa semasa menjalankan tugas.

Beliau berharap rakyat dapat patuhi semua arahan supaya perkara ini tidak berlaku lagi.

Tambah Ismail lagi, ‘mode‘ pihak polis kini bukan lagi menasihat tetapi berada pada tahap keras.- HARAKAHDAILY 2/4/2020

- Advertisement -