97 peratus patuhi PKP – Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tahap Pematuhan Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat kepada 97 peratus setakat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob yakin peningkatan peratusan kepatuhan terhadap PKP berikutan tindakan lebih tegas dan keras diambil oleh pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagaimanapun, katanya masih ada lagi yang ingkar dan tidak mematuhi PKP yang dilaksanakan.

“Semalam di satu daerah solat Jumaat masih diadakan walaupun arahan telah dikeluarkan supaya tiada solat Jumaat dan kita diminta solat di rumah tetapi ada di satu daerah mereka mengadakan solat Jumaat akibatnya 116 jemaah tersebut ditahan polis.

- Advertisement -

“Kita juga difahamkan terdapat 5 masjid yang masih mengadakan solat berjemaah. Saya harap tidak ada lagi berlaku keingkaran kepada PKP yang diperkenalkan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu katanya, dalam masa dua hari (Khamis dan Jumaat) pihak polis telah pun membuat 400 tangkapan.

“Semalam, pihak polis telah membuat 320 tangkapan dan sebelum itu (Khamis) sebanyak 160 tangkapan dilakukan.

“Daripada 600 tangkapan bermakna hampir 400 tangkapan telah dibuat dalam masa 2 hari khamis dan jumaat. Kita percaya dengan tangkapan ini telah pun mengubah dari segi peratusan kepatuhan yang kini meningkat 97 peratus,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 28/3/2020

- Advertisement -