COVID-19 tidak melumpuhkan amal Islami

- Advertisement -

WABAK COVID-19 dikatakan sudah mencapai tahap yang kritikal. Badan antarabangsa, World Health Organization (WHO) telah mengisytiharkan Coronavirus sebagai wabak pandemik.

- Advertisement -

Mengambil petikan dari Berita Harian pada 12 Mac yang lalu, pandemik ialah peringkat wabak yang kritikal dan berisiko ke atas orang ramai. Kadar penularannya lebih agresif merentasi wilayah dan melibatkan populasi yang besar. Ciri pandemik adalah melibatkan kadar serangan yang tinggi dalam masa singkat. Ia melibatkan sebaran pantas dan menyebabkan kadar kematian yang tinggi.

Rasulullah telah mengingatkan kita, antara gejala diambang berlakunya kiamat adalah kematian besar-besaran yang berpunca dari penyakit merebak.

ثُمَّ مُوتَانٌ يَأْخُذُ فِيكُمْ كَقُعَاصِ الغَنَمِ
“Kemudian berlakunya kematian besar-besaran yang membinasakan kamu semua seperti matinya kambing.”
(Riwayat Bukhari)

Berikutan penularan wabak COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjalankan pelbagai langkah pencegahan untuk mengelakkan wabak itu tersebar lebih luas. Kecekapan KKM dalam menangani wabak COVID-19 ini dapat dilihat melalui maklumat yang sentiasa dikemaskini di laman media sosial rasmi KKM. Ia juga melibatkan pengorbanan yang tinggi dalam kalangan anggotanya sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Arahan Kawalan Pergerakan dan tidak berada di dalam sebarang himpunan atau tempat yang menjadi tumpuan ramai juga telah dikeluarkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Mohd Yassin berkuatkuasa 18 Mac sehingga 31 Mac 2020. Langkah ini bertujuan menyekat penularan wabak COVID-19 dengan lebih cepat.

Adapun wabak COVID-19 ini merupakan salah satu bentuk peringatan daripada Allah S.W.T. Musibah ini hanyalah ujian daripada-Nya agar kita beringat dan kembali kepada Allah S.W.T.

Rentetan wabak yang berlaku ini, saya menyeru kepada semua umat Islam di Malaysia agar mematuhi segala arahan pencegahan daripada pihak yang berautoriti. Diantaranya tidak digalakkan solat berjemaah di masjid atau surau secara beramai-ramai kecuali imam, muazzin dan noja sahaja. Kuliah agama di masjid atau pun surau serta usrah juga perlu ditangguhkan buat seketika waktu demi menjaga maslahah umum dan mengelak dari berlaku mudarat yang lebih berat.

Dalam waktu yang sama jika kita mampu meneruskan agenda amal Islami seperti mengadakan pengajian agama secara online, maka gunakan kelebihan itu bagi meneruskannya seperti solat berjemaah bersama keluarga serta membaca matsurat di rumah perlu diteruskan dan usrah alam maya juga kaedah menarik yang boleh dipraktikkan.

Nabi S.A.W juga memberi penekanan kepada kita agar menjaga kesihatan tubuh, memelihara diri daripada sebarang mudarat dan mengelakkan diri daripada menjadi asbab kemudharatan orang lain. Dalam agama Islam, pencegahan menjadi asas utama kepada penjagaan kesihatan yang baik.

Nabi S.A.W telah mengemukakan kuarantin ketika menangani wabak berjangkit. Baginda bersabda:

إذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأرْضٍ، فلاَ تَقْدمُوا عَلَيْهِ، وإذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا، فَلا تخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ
“Apabila kamu mendengar wabak taun (penyakit berjangkit) di suatu tempat, maka janganlah masuk ke dalamnya. Dan apabila kamu telah pun berada di tempat tersebut, janganlah keluar darinya.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Akhir kalam, sekiranya terdapat simptom-simptom wabak ini pada diri atau orang terdekat, bersegeralah mendapatkan rawatan dan kuarantin. Perbanyakkanlah menyebut:

لا حول ولا قوة إلا بالله العلى العظيم

Dan berdoa agar Allah merahmati, memelihara kita dan segera mengangkat bala ini.

USTAZ KHIRUL MUNTANAZAR ISMAIL
Yang DiPertua
PAS Kawasan Tebrau – HARAKAHDAILY 20/3/2020

- Advertisement -