Bagaimana Islam memulihkan ekonomi negara

- Advertisement -

DOKUMEN Hijau

(1) Sebelum ini saya ada menulis beberapa solusi yang lebih menjurus terhadap persoalan ekonomi, yang ditawarkan dalam Dokumen Hijau PAS.

Beberapa konsep asas mesti difahami, apa yang disediakan oleh PAS selaras dengan nas-nas syara’;

(a) Harta negara tidak boleh berlegar di kalangan golongan kaya sahaja.

(b) Cukai diambil daripada lebihan golongan kaya untuk diagihkan kepada golongan miskin.

(c) Menaikkan taraf golongan miskin dan penurunan kos sara hidup adalah sasaran utama sistem ekonomi Islam.

(d) Fardhu Kifayah dalam penyediaan keperluan masyarakat.

(e) Anti monopoli dan anti ‘ghulul’.

(2) Daripada 5 prinsip asas ini, terbinalah sebuah sistem bagaimana memperbaiki krisis ekonomi negara. Syaratnya cuma satu, iaitu yakin bahawa sistem Islam adalah penyelesaian.

- Advertisement -

(3) Islam menyediakan sistem berfikir. Manusia tidak boleh berfikir sembarangan, kerana bukan semua benda manusia tahu. Ada yang mencuba cuba meletakkan penyelesaian dengan akal mereka sendiri, namun gagal.

Ideologi-ideologi lapuk telah terbukti kegagalan mereka. Kadangkala idea-idea mereka tidaklah bersifat universal, hanya sesuai untuk sesetengah masyarakat sahaja.

Saham dan Simpanan Korporat

(1) Dalam Dokumen Hijau cetakan 2017, menyatakan bahawa jumlah Simpanan Korporat dan Syarikat berjumlah sekitar RM1.6 trilion pada 2015.

Manakala jumlah nilai saham di Bursa Saham berjumlah sekitar RM1.66 trilion pada 2015, dan 1.85 trilion pada 2017. Angka yang bukan calang-calang.

(2) Angka-angka yang besar ini menggambarkan bahawa orang-orang kaya di Malaysia mempunyai kekayaan yang berlebihan, yang wajar dialirkan ke bawah.

Cadangan aliran ke bawah dengan mengenakan cukai terhadap kedua-dua item tadi, iaitu saham di Bursa Saham, dan juga Simpanan Korporat dan Syarikat.

(3) Secara konservatifnya, jumlah Simpanan Korporat dan Syarikat adalah dianggarkan sekitar RM566 bilion dan dengan potongan cukai pada kadar 2.5 peratus, kerajaan berpotensi memperolehi pendapatan sebanyak RM14 bilion setahun.

(4) Manakala kaedah percukaian terhadap pedagang di Bursa Saham (Share Trading), antara cadangan yang dikemukakan oleh Dokumen Hijau seperti berikut;

(i) Jika saham itu dipegang selama genap setahun, maka ia dikenakan cukai sebanyak 2.5 peratus berasaskan jumlah paling rendah dalam tempoh setahun.

(ii) Jika saham itu diniagakan secara jangka pendek, maka ia kenakan terus sebanyak 2.5 peratus ke atas keuntungan bersih selepas transaksi (on the spot).

Mengurangkan kemiskinan dan anti-ghulul

(1) Dengan andaian jumlah terendah yang layak cukai oleh mekanisma percukaian ini berjumlah RM1.5 trilion, dan dengan kadar cukai 2.5 peratus, pendapatan negara akan bertambah sehingga RM37.5 bilion setahun.

Mengambil kira kedua-dua mekanisma cukai yang dicadangkan di atas, jumlah pendapatan baharu negara mencecah sehingga RM51.5 bilion setahun.

(2) Sepertimana artikel saya sebelum ini [1] pada 2016 seramai 1.54 juta rakyat Malaysia berada di bawah paras kemiskinan. Pendapatan sebanyak RM51.5 bilion perlu diagihkan kepada mereka.

Menjadikan setiap fakir miskin akan menerima RM8312 setahun atau RM693 sebulan. Ini menjadikan kuasa beli meningkat, dan merendahkan paras kemiskinan.

(3) Dalam masa yang sama, Islam menekankan aspek anti- ghulul yang biasanya menjadi amalan golongan sebelum ini. Bahasa mudahnya ialah menyekat agihan.

Iaitu agihan hasil negara hanya diagihkan kepada orang-orang tertentu sahaja. Seperti Ketua Kampung yang tidak jujur, iaitu mengagihkan peruntukan untuk kroninya sahaja.

(4) Dalil pengharaman ghulul ialah;

وَمَا كَانَ لِنَبِیٍّ أَن یَغُلَّۚ وَمَن یَغۡلُلۡ یَأۡتِ بِمَا غَلَّ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِۚ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفۡسࣲ مَّا كَسَبَتۡ وَهُمۡ لَا یُظۡلَمُونَ

“Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya).”

Cara Islam

(1) Selain daripada ghulul, Islam juga memerangi monopoli yang telah saya huraikan dalam beberapa artikel yang lepas [1]. Kerana disebabkan monopoli menyebabkan barang keperluan dikuasai oleh orang tertentu.

Maka, orang itu akan senang lenang menaikkan harga dan sebagainya. Ghulul dan monopoli kedua-duanya mempunyai elemen penindasan, dan ia terlarang dalam Islam.

(2) Dalam al-Quran menceritakan bagaimana Raja Zulqarnain mengubah konsep percukaian yang membebankan rakyat, kepada konsep kerjasama;

قَالُوا۟ یَـٰذَا ٱلۡقَرۡنَیۡنِ إِنَّ یَأۡجُوجَ وَمَأۡجُوجَ مُفۡسِدُونَ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَهَلۡ نَجۡعَلُ لَكَ خَرۡجًا عَلَىٰۤ أَن تَجۡعَلَ بَیۡنَنَا وَبَیۡنَهُمۡ سَدࣰّا ۝
.
“Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” (94)

قَالَ مَا مَكَّنِّی فِیهِ رَبِّی خَیۡرࣱ فَأَعِینُونِی بِقُوَّةٍ أَجۡعَلۡ بَیۡنَكُمۡ وَبَیۡنَهُمۡ رَدۡمًا

“Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.” (95)

(3) Konsep yang digunakan oleh Raja Zulqarnain bukannya dengan memeras wang rakyat untuk memajukan negara, akan tetapi membina kerjasama ke arah itu.

Sumber manusia membina negara

(1) Sepertimana tulisan saya sebelum ini [2], sesebuah negara mesti mempunyai tiga perkara asas, iaitu penduduk, tempat dan kekuasaan.

Jika dikaji mengenai kisah Raja Zulqarnain tadi, beliau bukan semata-mata menggunakan kekuasaan untuk sewenang-wenangnya mengenakan cukai.

Akan tetapi menggunakan sumber tenaga manusia untuk bersama-sama membina tembok mengekang kemaraan Yakjuj dan Makjuj yang diceritakan dalam al-Quran.

(2) Ideologi seperti Kapitalis khususnya, hanya mengukur kemajuan itu dari sudut duit material semata-mata. Duit itu adalah segala-galanya dalam membina negara.

Manakala Sosialis pula, mengukur kemajuan sesuatu negara itu hanya pada tenaga buruhnya sahaja. Maka, rakyat mereka dibebani dengan kerja sebanyak manapun, tetapi upah yang diberikan tetap ‘ciput’.

(3) Islam mengajar supaya memanfaatkan kedua-duanya. Sesiapa yang kerja lebih, akan dapat hasil lebih. Kebebasan diberikan kepada setiap individu untuk memajukan diri sendiri.

Tetapi sesiapa yang sudah berlebih-lebihan kekayaannya, harus keluarkan sedikit kekayaannya untuk membantu orang miskin. Maka, ia akan mengurangkan jurang beza antara keduanya

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3538529126188822&id=100000953077134

[2] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3561443263897408&id=100000953077134

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 16/3/2020

- Advertisement -