Eksklusif: Virus Corona sebenarnya disebar tentera Amerika?

- Advertisement -

INI BUKAN konspirasi. Ini kenyataan Kementerian Luar China yang diterbitkan oleh Zhao Lijian – senada dengan lima pegawai tinggi China yang lain.

Zhao Lijian turut mengkritik keras sikap Amerika yang tidak telus kerana tidak mendedahkan data mengenai pesakit di negara Uncle Sam itu. Beliau menulis: “Siapa pesakit pertama dan bila ia bermula? Berapa ramai yang dijangkiti? Apakah nama-nama hospital terbabit? Kemungkinan memang tentera AS yang membawa wabak itu ke Wuhan. Tolonglah telus! Umumkan data anda. Jelaskan kepada kita!”

Malah, apabila Duta China di Washington, Cui Tiankai dipanggil untuk memberi penjelasan kepada Penolong Setiausaha Negara Amerika, David Stilwell, beliau bersikap ‘defensif’ dan tidak menafikan tuduhan Zhao Lijian itu – bahawa tentera Amerika yang membawa virus Corona ke Wuhan.

- Advertisement -

Kenyataan pegawai Kementerian Luar China ini boleh didasarkan kepada tiga hakikat: kenyataan Dr. Robert Redfield (Pengarah Center for Disease Control and Prevention), kehadiran 176 tentera Amerika dalam acara Military World Games di Wuhan pada Oktober 2019, serta lokasi strategik Wuhan yang merupakan lokasi pembinaan kapal perang yang besar dan produktif di China – sekali gus menjadi tapak peluasan kuasa Beijing mencabar dominasi Amerika di Laut China Selatan.

Dalam siri kenyataan Zhao Lijian yang dibuat dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin itu, beliau menyertakan video Dr. Robert Redfield – video penerangan sama yang dijadikan sandaran oleh ketua beliau, Hua Chunying ketika menegaskan bahawa China sama sekali tidak boleh dikaitkan sebagai punca virus Corona.

Dr. Redfield mendedahkan dalam video itu bahawa sememangnya wujud kes di Amerika yang sah meninggal dunia kerana positif virus Corona, sebaliknya ia pada awalnya didiagnosis sebagai influenza.

Pakar Penyakit berjangkit China yang menemui SARS pada 2003 iaitu Zhong Nanshan mengadakan sidang akhbar pada 27 Februari lepas mengatakan bahawa “jangkitan yang pertama memang terjadi di China, tetapi virus itu tidak semestinya berasal dari China’.

Paling signifikan tentulah sehari selepas sidang media Zhong Nanshan itu iaitu kes pada 28 Februari lepas di mana seorang pesakit di Amerika disahkan positif virus Corona sedangkan beliau tidak pernah melawat mana-mana negara yang dilanda wabak berkenaan mahu pun berinteraksi dengan mana-mana pesakit yang positif dengan virus tersebut. Ringkasnya bermakna virus yang agresif itu tidak semestinya berasal dari China.

Rakan sejawat Zhao, iaitu Geng Shuang ketika ditanya oleh Reuters sama ada kenyataan Zhao Lijian itu boleh dianggap sebagai pendirian rasmi Kerajaan China dengan mengejutkan membalas bahawa Amerika ‘tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab’ serta ‘Amerika mempunyai pandangan yang berbeza mengenai asal-usul virus Corona’. Duta China di Afrika Selatan, Lin Songtian turut menegaskan bahawa virus Corona bukan berasal dari China.

Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo sebelum ini merujuk virus Corona sebagai ‘virus Corona China’ atau ‘virus Wuhan’ manakala Penasihat Keselamatan Negara Amerika Robert O’Brien pula mendakwa ketidaksediaan China telah merugikan tempoh dua bulan untuk membendung virus itu.

Untuk rekod, acara Military World Games dianjurkan di Wuhan pada Oktober 2019 dan sememangnya dihadiri sekitar 176 orang tentera Amerika. Wabak virus Corona disahkan pertama kali merebak pada November 2019, iaitu tidak lama selepas berakhirnya acara Military World Games ini.

Wuhan juga ialah lokasi kritikal pembinaan angkatan kapal-kapal perang buat tentera laut China (PLA-N). Wuhan menempatkan syarikat Wuchang Shipbuilding Industry Group yang bertanggungjawab membina kapal-kapal selam untuk tentera laut China serta Naval University of Engineering yang menghasilkan pelbagai teknologi dasar laut buat tentera China.

Pada 2018, Wuchang Shipyard di Hubei, Wuhan juga dikesan menjadi lokasi pemasangan ‘electromagnetic gun’ (railgun) di ‘landing ship’ Haiyang Shan sekali gus menjadikan China negara pertama di dunia yang memasangnya di landing ship.

Malah, dua kapal Littoral Mission Ship (LMS) Malaysia iaitu KD Keris dan KD Sundang juga dibina oleh Wuchang Shipbuilding di Wuhan dan baru sahaja diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 2019 sebelum virus Corona merebak.

Antara projek utama ketenteraan China yang diunjurkan terjejas dengan wabak virus Corona ini ialah pembinaan kapal pengangkut pesawat China yang ketiga serta pembinaan pesawat-pesawat pejuang yang baru.

Jiangnan Shipyard yang bertanggungjawab membina kapal pengangkut pesawat China yang ketiga serta Shenyang Aircraft Corporation yang membina pesawat pejuang buat tentera laut dan udara China telah terpaksa menangguhkan sebahagian kerja-kerja pembinaan mereka.

Analisis ‘ancaman’ kekuatan industri pembinaan kapal perang China ke atas dominasi angkatan laut Amerika ini boleh dibaca dengan terperinci dalam karya ‘Chinese Naval Shipbuilding: An Ambitious and Uncertain Course’ pada 2017 terbitan Naval Institute Press.

Amerika Syarikat saat ini memiliki 11 kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear – tidak termasuk sembilan lagi ‘assault ships’ – yang kesemuanya mampu membawa pesawat F-35B. Hakikat bahawa pesawat F-35B Lightning II Amerika buat pertama kali menyertai latihan ketenteraan Cobra Gold Indo-Pasifik pada Februari lepas seolah-olah memberi isyarat kepada Beijing bahawa mereka masih mendominasi.

Sama ada benar atau tidak dakwaan serius Kementerian Luar China bahawa tentera Amerika yang membawa virus Corona ke Wuhan, apa yang pasti virus berkenaan telah memberi impak negatif ke atas kemajuan tentera China untuk menyaingi armada laut Amerika.

Semoga Allah memelihara kita semua.

Oleh: ABDUL MUEIN ABADI
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 16/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -