KUALA LUMPUR: Masyarakat yang mempunyai unsur-unsur negatif seperti, cauvinis dan perkauman mesti ditolak, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Menurut beliau, PAS mendapat signal tersebut untuk menolak unsur perkauman ini setelah melihat hasil dari Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dimana kawasan yang majoriti Melayu Islam berjaya PAS dan Umno berkempen untuk menyokong calon MCA, Wee Jeck Seng.
“Kita telah berjaya membuat satu gabungan wakil-wakil rakyat kalangan orang Melayu Islam dan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.
“Diterjemahkan betapa tidak perkaumannya kita ini melalui Pilihan Raya Tanjung Piai, (apabila) kawasan majoriti orang Melayu Islam, PAS dan UMNO berganding bahu menyokong calon MCA yang bukan Islam untuk melawan calon Melayu Islam daripada Bersatu yang masih dalam Pakatan Harapan.
“Dengan usaha yang gigih kita telah berjaya memenangkan calon MCA. Maka berlakulah satu gambaran yang awal betapa kita perlu memecahkan masyarakat majmuk yang ada unsur-unsur negatif (seperti) unsur cauvinis, perkauman yang mesti ditolak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Presiden PAS sebentar tadi.
Sementara itu, dalam perancangan PN, beliau turut mengajak Sabah dan Sarawak untuk berpadu, bergabung dalam membuat perubahan ini walaupun diketahui Sabah dan Sarawak tidak terpalit dengan krisis yang berlaku.
- HARAKAHDAILY 10/3/2020