Sekitar perarakan Hari Wanita 2020

- Advertisement -

SEMPENA sambutan Hari Wanita semalam, beberapa NGO telah mempromosikan aktiviti perarakan Hari Wanita (termasuklah Sisters in Islam). Menurut Malaysiakini, sekitar 300 aktivis telah berarak dari Sogo menuju ke persimpangan Jalan Raja, Kuala Lumpur.

Perarakan ini walau bagaimanapun turut melaungkan tuntutan yang dikira bercanggah dengan ketetapan yang telah digariskan oleh hukum Syarak. Sebagai contoh perjuangan hak-hak LGBT, kebebasan wanita untuk berpakaian dan perjuangan hak tubuh mereka.

Sebagai Muslim, isu-isu hak asasi kemanusiaan sepatutnya dinilai dengan mizan syarak dan bukannya sekadar panduan akal yang berteraskan neraca pertimbangan Liberal. Wacana berhubung hak asasi wanita menurut Islam adalah jalan yang lebih baik untuk menjelaskan kepada Muslimah betapa Islam telah mengangkat kedudukan wanita.

- Advertisement -

Menurut Saidina Umar, sebelum datangnya Islam, para wanita telah diperlakukan dengan tindakan yang tidak wajar. Kata beliau:

والله إنْ كنَّا في الجاهلية ما نعدُّ للنساء أمرًا، حتى أنزل الله فيهنَّ ما أنزل، وقسم لهنَّ ما قسم
“Demi Allah, ketika zaman Jahiliah dahulu, kami tidak mengira wanita mempunyai urusan (hak-haknya), sehingga Allah menurunkan hak-hak buat mereka, dan memberikan bahagian buat mereka.”

(direkodkan oleh Ibn Hajar dalam Fath al-Bari)

Dalam al-Quran, Allah telah memerintahkan para lelaki supaya menyantuni wanita dengan penuh hormat dan kemuliaan. Firman Allah:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوف

[النساء: ١٩]

“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(an-Nisa’: 19)

Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam al-Jassas menegaskan mengenai kewajipan melakukan kebaikan kepada isteri. Kata beliau:

أمر للأزواج بعشرة نسائهم بالمعروف، ومن المعروف: أن يوفيها حقها من المهر، والنفقة، والقَسْمِ، وترك أذاها بالكلام الغليظ، والإعراضِ عنها

“Allah telah memerintahkan para suami supaya menyantuni wanita dengan baik. Dan antara kebaikan yang mesti ditunaikan adalah: menyempurnakan hak isteri termasuklah mahar, nafkah dan pembahagian harta. Suami mesti meninggalkan kata-kata tidak elok dan kasar kepada isteri dan tidak boleh berpaling dari mereka.”

(al-Jasas, Ahkam al-Quran)

Rasulullah turut mewasiatkan kepada kita agar memelihara para wanita dengan baik. Malah Baginda menegaskan bahawa ciri-ciri kesempurnaan akhlak seorang lelaki adalah tergantung kepada bagaimana mereka melayani wanita. Sabda Rasulullah:

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ خُلُقًا

“Mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu adalah mereka yang paling baik akhlaknya bersama wanita.”

(HR al-Tirmizi)

Malah banyak lagi dalil serta penghujahan yang menunjukkan bagaimana Islam mengangkat serta memuliakan para wanita. Penyertaan para Muslimah dalam aktiviti perarakan Hari Wanita yang bercampur-baur tuntutan perjuangan mereka tidak sekali-kali menjulang kemuliaan wanita Muslimah.

Kemuliaan wanita Muslimah telah pun diangkat oleh Allah dan RasulNya melalui ketaatan serta ketakwaan mereka kepada Allah. Bukannya melalui lolongan dan pekikan yang menuntut hak asasi yang dibimbangi bertunjangkan kerangka anutan Liberal.

Semoga Allah membimbing kita.

DR. AHMAD SANUSI AZMI – HARAKAHDAILY 9/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -