Kaya kahwin miskin demi imbangi keadilan sosial

- Advertisement -

SATU tindakan yang indah dan mulia bagi seorang kaya memilih orang miskin sebagai pasangan hidupnya demi keadilan sosial dan dengan demikian boleh mengubah status ekonomi dan kehidupan si miskin yang bernasib baik itu.

- Advertisement -

Apakah hartawan Khadijah boleh jadi contoh apabila memilih pemuda Muhammad menjadi suaminya, sedang Muhammad sebelumnya adalah seorang yang tiada status harta, bahkan menjadi wakil Khadijah menjalankan rombongan perniagaannya di luar Mekah. Kedudukannya tidak sebagai pekerja tetap.

Tidak dipastikan apakah ia akan menaikkan status sosial dari tidak berada, menjadi orang berada. Tetapi seorang yang dipercayai sepertinya dapat meringankan tanggungjawab Khadijah menjaga kekayaannya.

Nabi ada misi, bukan demi mengubah status kemiskinan keluarga Abu Talib berkongsi kekayaan dari harta Khadijah. Tetapi kalau ramai perempuan kaya mencontohi Khadijah nescaya ramai buruh, tukang kebun berubah status sosial.

Tetapi dapatkah perempuan kaya mempercayai laki-laki miskin untuk menjadi suaminya atau tidakkah dia terasa memilih suami miskin menjejaskan status sebagai orang kaya. Payah laki-laki miskin rasa selesa dan bermaruah beristerikan orang kaya. Dia sentiasa jadi suami murung.

Saya ada maklumat ibu saudara saya anak orang kaya. Demi membantu seorang laki-laki miskin yang dipercayai, dinikahkan anak perempuannya dengan laki-laki miskin tadi. Dan diberinya menantunya tanah dan keperluan modal. Tetapi anak perempuan sepanjang hidup terasa tidak berkeadilan supaya bersuami sepadan dengan satus kekayaan keluarganya.

Anjuran si kaya kahwin si miskin, rasanya tidak melibatkan wanita kaya, tapi bagi laki-laki kaya sahaja. Banyak kejadian laki-laki kaya memilih isteri miskin. Ada justeru membantu nasib ekonomi keluarga perempuan itu tetapi kebanyakannya bukan kerana kemiskinan perempuan itu tetapi kerana rupawan perempuan itu.

Tidak dipastikan selepas kahwin si isteri dapat membantu suami bertambah kaya, atau si suami hanya mahu isteri sebagai orang cantik saja.

Kahwin bagi pasangan kaya miskin seperti ini, tidak banyak mengubah status keadilan sosial masyarakat.

Yang bertuah hanya wanita miskin yang jadi isteri orang kaya itu sahaja. Keluarga perempuan itu belum tentu terbela dengan dia jadi isteri orang kaya. Mungkin melimpah bantuannya kepada keluarga, tetapi sistem sosial masyarakatnya tidak terbela.

Keluarganya yang sama-sama miskin dahulu belum tentu berubah status hidup selepas saudari miskinnya jadi isteri orang kaya.

Mungkin keadaan tertentu ada yang dapat dibela, tetapi yang bernasib baik ialah anak miskin itu dapat kahwin orang kaya.

Bagi membetulkan status ekonomi dan kehidupan masyarakat, bukan satu dua orang miskin kahwin dengan orang kaya atau orang kaya mencari orang miskin jadi isteri. Jika laki-laki kaya cari isteri miskin yang cantik, dengan siapa pula anak perempuan kaya kahwin?

Jika dianjurkan si kaya cari isteri miskin, maka senang, tetapi anak perempuan orang kaya bermasalah mencari jodoh anaknya dengan laki-laki miskin. Laki-laki miskin tetap ada ego kelelakian.

Yang perlu dibetulkan ialah ketempangan sosial dan ekonomi masyarakat. Jika sistem sosial dapat dibetulkan, serah sahaja kepada sikaya dengan siapa dia hendak kahwin. Kaya kahwin miskin tuah kepada orang tertentu, tetapi sistem sosial masyarakat tidak berubah.

- Advertisement -