Kejohanan Sukan SRITI Zon Ipoh meriah

- Advertisement -

IPOH: Kejohanan Sukan SRITI Zon Ipoh 2020 telah berlangsung dengan meriahnya melibatkan SRITI Al-Hambra, Ipoh Barat dan SRITI Al-Istiqamah, Meru Raya di padang Sekolah Kebangsaan Chepor di sini, baru-baru ini.

- Advertisement -

Acara sukaneka tersebut turut dirasmikan dengan gimik perasmian sepakan penalti oleh Ketua Pengarah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Malaysia merangkap Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri.

Beliau dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa SRITI adalah kesinambungan usaha mentarbiyah anak-anak muda melalui pemerkasaan ciri Islam.

“Wujudnya SRITI adalah bukti bahawa kita komited mendidik generasi baru dalam mempelajari al-Quran, Hadis, akhlak dan adab. Komitmen ini akan tetap diteruskan meskipun berhadapan pelbagai cabaran.

“Usaha ini adalah selari dengan dasar pendidikan negara Malaysia  yang sentiasa mengutamakan dasar kualiti dalam pembelajaran dan pengajaran dalam setiap aspek melalui silibus kerajaan atau yang ditetapkan sekolah,” ujarnya.

Acara bola sepak telah dirangkul Johan dan Naib Johan oleh Rumah Merah dan Rumah Hijau mewakili SRITI Al-Hambra, manakala bagi tempat ketiga pula ialah Rumah Kuning mewakili SRITI Al-Istiqamah.

Bagi acara bola jaring berpasukan pula, Johan dirangkul kemas oleh Rumah Merah, mengikut rapat sebagai Naib Johan ialah Rumah Hijau dan tempat ketiga ialah Rumah Kuning.

Memanah merupakan acara terhangat pada kejohanan sukan SRITI kali ini di mana Johan dirangkul oleh Rumah Kuning, diikuti Naib Johan iaitu Rumah Hijau dan ketiga ialah Rumah Merah.

Turut hadir sama memeriahkan lagi kejohanan sukan tersebut ialah Ketua Sektor Pendidikan Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Aidil Mohd Fadzil dan Mudir SRITI Al-Hambra, Ustaz Amar Arif Ahmad Po’aad serta Mudirah SRITI Al-Istiqamah, Ustazah Nurul Nabila Jumbuny. – HARAKAHDAILY 9/3/2020

- Advertisement -