KERAJAAN Negeri Melaka yang akan dibentuk semula dari gabungan baharu harus berdiri selari dengan impian rakyat di mana begitu berhasratkan kepada perubahan. Episod kelabu sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sudah cukup menjadi iktibar pengajaran yang mesti disimpan menjadi sejarah.
Melaka biarpun sebuah negeri kecil, namun namanya telah terpahat kukuh di serata ceruk rantau dunia. Sayugia, kemasyhuran itu tidak harus hanya tersemat menjadi kebanggan kenangan. Melaka mesti dipacu semula ke gerbang masa depan yang lebih berjaya dan dibina kembali di atas asas lebih kukuh dan sejahtera.
Rungkaian terhadap tonggak-tonggak penting melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan yang diusik secara tidak matang mestilah dipastikan tidak berulang. Keangkuhan dan biadab, serta wewenangan, kronisme dan penipuan yang berlaku di bawah urus tadbir PH mesti dikebumikan tanpa bangkit menghantui.
Perpaduan dan keharmonian rakyat mesti dipertaut secara kukuh semula, apatah lagi Melaka boleh menjadi ‘wajah Malaysia’ kerana kemajmukan pelbagai keturunan kaum, agama, budaya dan bahasa penduduknya. Keunikan ini boleh menjadi model membina bahagia dan aman, seterusnya sebagai bangsa sejahtera.
Untuk itu memberdayakan rakyat tanpa mengira latar belakang dengan kebajikan dan keadilan mesti menjadi agenda utama pihak pemimpin kerajaan baharu. Pemulihan ekonomi, merapat jurang kaya-miskin, meningkatkan tahap pendidikan dan pembangunan seimbang mestilah menjadi iltizam dan komitmen dijayakan.
Pandangan sebagaimana dikemukakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu diharap menjadi inti nasihat terpenting termasuk dalam membariskan saf kepimpinan baharu Kerajaan Negeri Melaka. Mestilah dilantik individu berintegriti, layak, mahir dan mewakili masyarakat majmuk di negeri ini.
Bahkan saranan beliau supaya dilibatkan kalangan profesional yang akan meningkatkan segala fungsi urus tadbir negeri boleh didahului Melaka untuk menjadi contoh kepada lainnya. Malah, cadangan fungsi Hisbah dikemukakan tokoh ulamak itu boleh menjamin integriti dan kepercayaan awam kepada pemimpin kerajaan.
Kami mendoakan agar kepimpinan baharu Kerajaan Negeri Melaka diberi hidayah dan riayah serta pertolongan Allah S.W.T dengan kekuatan meneladani Rasulullah S.A.W agar amanah dibawa nanti diredhai serta mendapat dukungan rakyat seluruhnya.
“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”
USTAZ AHMAD BILAL RAHUDDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 5/3/2020