Persediaan menghadapi ujian yang perit

- Advertisement -

KEGOYANGAN prinsip

(1) Sebelum ini saya ada menulis mengenai kegoyangan prinsip, khususnya di akhir zaman. Prinsip yang tak kukuh digambarkan di dalam hadis Nabi S.A.W sebagai penyakit Umat akhir zaman. [1]

Nabi S.A.W bersabda;

- Advertisement -

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا.

“Bersegeralah beramal sebelum munculnya fitnah yang datang bagaikan potongan-potongan malam yang gelap, seseorang pada pagi harinya beriman dan pada petangnya telah menjadi kafir, atau petangnya masih beriman dan pagi harinya telah menjadi kafir, menjual agamanya dengan kepentingan dunia.”

(Riwayat Muslim)

(2) Sekadar contoh, hari ini antara ujian yang terbesar buat Ahli Parlimen Malaysia adalah keteguhan berprinsip. Sesiapa sahaja boleh ‘dibeli’, menyebabkan pendirian berubah-ubah.

Sekejap bersama parti A, sekejap lagi menentang parti itu. Sekejap lompat ke B, sekejap lompat ke C. Bertukar-tukar pendirian hanya semata-mata menjaga survival pengaruh sendiri.

(3) Sebab itulah Umat Islam perlu teguh berprinsip, bukan sepertimana doktrinisasi geng Muslim Moderate yang lebih terlajak perencah ‘siasah’nya.

Contohnya mereka berhujah bahawa bohong itu adalah helah yang dibenarkan demi merealisasikan strategi lalu disandarkan kepada hadis;

الحرب خدعة

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari ini di corner secara tajam oleh aliran Muslim Moderate bagi menggambarkan keharusan berbohong, atau ‘mengencing’.

Masa depan dan percaturan luar

(1) Konteks Malaysia hari ini menggambarkan suasana politik yang berkecamuk. Bimbang memberi kesan terhadap Generasi Z yang muntah dengan politik serabut. [2]

Bimbang juga apabila Generasi Z membesar dalam suasana politik seperti ini, menyebabkan mereka kelak menolak terus budaya berpolitik. Mungkin juga akan menyegarkan fenomena non-partisan.

(2) Seolah-olah kita tidak dapat lagi menyekat pergerakan semula jadi ke arah itu. Tambahan pula dalam suasana crowdocracy [3] yang semakin menebal pada hari ini, lebih membunuh ‘demokrasi’.

(3) Dalam situasi hari ini juga, antara yang perlu kita berjaga-jaga ialah peluang kuasa luar untuk terlibat dalam menyusun strategi percaturan terhadap politik tanah air.

Kita harus melihat skop ini dengan pandangan mata yang luas. Sepertimana yang pernah saya sebutkan sebelum ini, National Endownment For Democracy telah mengisytiharkan hal tersebut.

(a) Pada Julai 2018, pasca kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14, NED dengan bangganya menyatakan mereka telah mendanai pembangkang untuk menjatuhkan BN sejak 2002 hingga 2018.

Bahasa logiknya, seolah-olah mereka membantu parti-parti pembangkang untuk memenangi PRU14, berdasarkan apa yang disuarakan dalam forum anjuran CSIS itu. [3]

(c) Dalam masa yang sama NED mendakwa bahawa mereka meneruskan pendanaan mereka untuk mempromosikan demokrasi di Malaysia pada 2019 ‘secara atas tanah’ melalui laman rasmi mereka. [4]

Agenda tarbiah tidak berhenti

(1) Masing-masing boleh layari sendiri dakwaan NED terhadap pendanaan di Malaysia, yang dikaitkan dengan usaha usaha kerajaan lama (PH) dan juga gambaran gerak kerja di bahagian guaman.

Kes-kes yang berkaitan dengan hak asasi manusia didakwa oleh NED dalam pelan memperjuangkan kes-kes tersebut. Begitu juga dialog-dialog anak muda yang membincangkan isu-isu kritikal.

(2) Semuanya ini diisytiharkan oleh NED beserta dengan kos-kos yang diperuntukkan oleh mereka untuk projek-projek tersebut. Menggambarkan bahawa NED turut berperanan mencatur fenomena politik tanah air.

Tidak semudah ABC untuk kita menghukum dan meramal politik tanah air. Bimbang juga apabila melihat Umat Islam yang suka ‘bergayut’ dengan isu.

(3) Sepatutnya Umat Islam perlu teruskan kerja membina blok sendiri dan berpegang dengan tali Allah S.W.T. Boleh lihat program-program tarbiah yang dijalankan.

Berpuas hati dengan komitmen ahli PAS terhadap program tarbiahnya? Apabila pengisi program itu best, pastinya ramai. Tetapi apabila pengisi ‘tak best‘ buat buat tak perasan iklan yang terpampang.

(4) Kemudian nak berbicara bab kemenangan? Syarat kemenangan bukan sekadar wala’ dan taat. Akan tetapi antara syaratnya ialah keimanan, kefahaman dan keyakinan.

Faham hala tuju perjuangan. Faham dalil-dalil yang dijadikan sandaran untuk berstrategi. Bimbang binaan kita kelihatan kukuh, tetapi ‘beam’ dan cerucuknya masih goyang.

Meneguhkan pendirian

(1) Justeru, bagi menguatkan kefahaman kita berkenaan kekuatan aqidah (pasak), saya menukilkan beberapa firman Allah S.W.T sebagai pedoman kita bersama.

Allah S.W.T berfirman;

يُثَبِّتُ اللَّـهُ الَّذينَ آمَنوا بِالقَولِ الثّابِتِ فِي الحَياةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللَّـهُ الظّالِمينَ وَيَفعَلُ اللَّـهُ ما يَشاءُ

“Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.”

(Ibrahim: 27)

(2) Di dalam Tafsir al-Baghawy menyatakan maksud القول الثابت ialah kalimah tauhid, kalimah لا إله إلا الله , yang mengEsakan Allah S.W.T. Mereka yang meletakkan matlamat perjuangannya semata-mata Allah, maka mereka ini akan teguh pendiriannya.

Mereka yang terpesong mengejar dunia atau habuan jawatan di GLC atau sewaktu dengannya, maka pendirian mereka akan goyang apabila diuji dengan kehilangan habuan itu.

(3) Allah S.W.T berfirman;

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْلَا نُزِّلَ عَلَيْهِ الْقُرْآنُ جُمْلَةً وَاحِدَةً كَذَلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ وَرَتَّلْنَاهُ تَرْتِيلًا

“Dan orang-orang yang kafir berkata: “Mengapa tidak diturunkan al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekali gus)?” Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.”

(al-Furqan: 32)

Berdasarkan huraian Ibn Abbas R.A yang dinukilkan di dalam Tafsir Thabari menggambarkan bahawa Allah S.W.T mengajarkan Baginda S.A.W satu persatu.

(4) Apabila sudah faham, maka diturunkan ayat berikutnya. Begitulah seterusnya Allah menurunkannya secara beransur-ansur, agar boleh difahami oleh Baginda S.A.W, dan diajarkan kepada Para Sahabat R.A.

Justeru, ahli gerakan Islam perlu menghayati al-Quran dan memahaminya. Ayat-ayat tentang perang digunakan untuk menggambarkan dakwah. Menyebabkan berlakunya salah faham

Tuhan yang menguasai hati

Antara cara untuk menguatkan pendirian ialah dengan menghayati kisah-kisah golongan terdahulu, dan mengambil pengajaran pengajarannya.

Allah S.W.T berfirman;

وَكُلًّا نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ وَجاءَكَ في هـذِهِ الحَقُّ وَمَوعِظَةٌ وَذِكرى لِلمُؤمِنينَ

“Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.”

(Hud: 120)

(2) Antara yang lain, saranan Baginda S.A.W supaya kita perlu perbanyakkan berdoa;

يا مُقلِّبَ القلوبِ ثبِّت قلبي على دينِكَ

“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamaMu.”

(Musonnaf Ibn Abi Syaibah)

Apabila kita melaksanakan kerja Islam, pastinya pendirian kita sekali sekala tergoyang. Memikirkan macam-macam dugaan dan himpitan.

Nabi S.A.W bersabda;

إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاءِ، وإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاهُمْ، فمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا، وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ

“Sesungguhnya hebatnya hasil itu bersama hebatnya ujian untuk mendapatkannya. Sesungguhnya Allah S.W.T apabila menyayangi sesuatu kaum itu Dia akan mengujinya. Sesiapa yang redha maka dia akan mendapat redha, sesiapa yang benci dia akan mendapat murka.”

Al-Allamah Syeikh Muhammad Al-Amin bin Abdullah menyatakan di dalam Tafsir Hada’iq ar Ruh war Raihan;

إذا اشتد البلاء و عظم كان أسرع إلى الفرج

“Apabila ujian itu semakin dahsyat dan hebat, ia mempercepatkan kepada kemenangan.”

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3470541536320915&id=100000953077134

[2] Boleh search artikel artikel sebelum ini yang menceritakan mengenai Generasi Z.

[3] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3108929682482104&id=100000953077134

[4] https://www.ned.org/region/asia/malaysia-2019/

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 27/2/2020

- Advertisement -