Kerajaan PH Johor sah tumbang!

- Advertisement -

HARI ini, satu sejarah dicipta setelah diperkenankan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni almarhum Sultan Iskandar, Kerajaan PH Johor secara rasminya telah tumbang.

Hasil daripada gerakan politik PAS dan BN semenjak September dahulu, Muafakat Nasional yang ditubuhkan sebagai saluran persahabatan baharu, telah menunjukkan hasilnya.

Bertolak dari krisis kepimpinan negara beberapa hari lalu, politik nasional memperlihatkan kejutan dan debaran yang tidak disangka-sangka.

- Advertisement -

Namun begitu, Muafakat Nasional bukanlah penyebab kepada kejatuhan PH di Johor secara batil, kerana Muafakat Nasional sememangnya tidak menyokong PH dan ditambah dengan krisis dalaman PH sendiri yang menyebabkan ianya berlaku.

Menurut satu kenyataan rasmi dari istana, baginda berpuas hati dengan hasil soal jawab di antara baginda dengan semua ADUN Johor (dua tidak hadir), yang jelas menunjukkan sokongan kepada gabungan baharu dengan kelebihan dua undi.

Maka dengan keputusan itu, baginda meminta agar gabungan baharu ini, memberikan nama bagi jawatan Menteri Besar Johor yang baharu.

Tidak dinyatakan akan perkara pintu belakang mahupun perbuatan yang menyalahi Perlembagaan Negeri Johor, atas jatuhnya Kerajaan PH ini.

Jelas difahami, dengan kenyataan rasmi ini, baginda secara bijaksana, menolak sebarang unsur yang didapati melanggar undang-undang bagi negeri Johor dan kerajaan baharu Johor adalah kerajaan sah menurut lunas Perlembagaan.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 27/2/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -