Sufi-Sekular dan persaingan pengaruh

- Advertisement -

BLOK Arab

(1) Hari ini tiba-tiba timbulnya sebuah sekolah pemikiran yang diberi nama Ruwaq Jawi. Kerangka kelompok ini berfikir dilihat selari dengan pendekatan Tabah Foundation.

Bahkan susur galurnya akan bertemu. Apatah lagi Yayasan Tabah ini berpangkalan di UAE dan sangat berpengaruh dengan Mesir khususnya Universiti al Azhar sendiri.

(2) Terlebih dahulu kita perlu faham persaingan negara-negara Islam untuk menjadi ‘ketua’. Kalau sebelum ini, kita biasa dengar bahawa Arab Saudi adalah ketua bagi negarag-negara Islam.

Antara alasan kukuh mengapa negara ini dikenali sedemikian, ialah faktor kewujudan Makkah dan Madinah yang menjadi nilai paling penting dalam agama Islam.

(3) Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ada negara-negara Islam yang ingin merebut ‘piala’ tersebut. Antara yang dilihat ialah UAE, Qatar dan lain-lain.

Selain itu di sana adanya kesatuan yang dikenali sebagai ‘Bulan Sabit Syiah’ iaitu daripada Syam hingga ke Iraq. Kemunculan kuasa ini sedikit sebanyak menggugat geng-geng Arab.

(4) Arab selama ini merasakan mereka adalah ketua buat Umat Islam. Arab Saudi dan Qatar bersatu dalam melancarkan kempen anti-Syiah menyebabkan blok Islam terpecah dua.

Iaitu blok Syiah, dan blok Arab. Blok yang digambarkan sebagai negara-negara Syiah ini tidak ‘terliur’ sangat untuk menyerang blok Arab.

Arab Saudi – UAE – Qatar


(1) Blok Syiah lebih cenderung menentang Amerika dan Israel. Tetapi malangnya Blok Arab sejak kebelakangan ini mula menjadi normal (normalisasi) terhadap Israel.

Bahkan sejak sekian lama Arab Saudi, Mesir dan UAE sendiri menjadi rakan rapat Amerika. Bahkan negara-negara Arab inilah yang banyak campur tangan dalam konflik.

(2) Walaupun demikian, di kalangan Blok Arab sendiri masing-masing menyimpan perasaan untuk menjadi kuasa terbesar. Sikap pragmatik menjadi hiasan utama dalam projek ini.

Secara khususnya kita boleh fahami persaingan Blok Arab ini melalui tiga negara utama, iaitu Arab Saudi, UAE dan Qatar. Masing-masing mempunyai kerangka idealogi yang berbeza.

(3) Arab Saudi dikenali dengan aliran Salafi-Wahhabi. Qatar pula dikenali sebagai negara yang menyokong gerakan Islam. Manakala UAE pula adalah negara yang mengamalkan Sufi-Sekular.

Mesir dan UAE dilihat sealiran. Cuma perbincangan kita tidak tertumpu sangat kepada negara ini. Ini kerana secara zahirnya UAE mempunyai pengaruh terhadap al-Azhar.

(4) UAE yang menggunakan aliran Sufi dan menyimpan hasrat untuk bersaing dengan Arab Saudi dan Qatar. Qatar bersikap terbuka dengan gerakan Islam.

Hal ini menyebabkan beberapa negara memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar pada 2017. Antaranya Mesir, UAE, Bahrain dan lain-lain.

Sufism yang dipergunakan


(1) Pada 2013 pasca Arab Spring, telah diadakan satu persidangan di Nixon Centre Washington yang turut disertai oleh tokoh-tokoh Islam seperti Syeikh Hisyam Kabbani dan lain-lain.

Antara yang hadir juga ialah Bernard Lewis yang terkenal dengan agenda New Middle East yang dilakarkan olehnya pada 1983 sebagai projek memecahkan Asia Barat.

(2) Dalam persidangan ini, menyaksikan bagaimana wujudnya agenda mempertembungkan Sufism bagi mengekang gerakan Islam khususnya rangkaian Ikhwan.

Gerakan Islam ketika itu digambarkan sebagai pengganas yang dianggap pencetus Arab Spring 2011. Justeru, gerakan-gerakan sufi dipergunakan untuk mengekang mereka

(3) Antara yang ditulis oleh Dr Usamah al Azhari;

“Kedua-dua sarjana ini (Syeikh Hamza Yusof dan Syeikh Abdullah bin Bayyah) mempunyai rekod lama mengenai keterlibatan dalam isu agama di Timur Tengah dan Barat. Kedua-duanya kini berkhidmat dengan UAE, menggunakan profil keagamaan mereka untuk membawa agenda UAE mengenai program kesederhanaan agama kepada global”

(4) Pada 2015, seorang pemikir Arab Saudi di bawah tajaan Putera Mahkota telah menerbitkan satu tulisan yang bertajuk “Rangkaian Sufisme Politik Abu Dhabi: Dan Implikasinya terhadap Keamanan Arab Saudi.”

Ia mengandungi perbincangan mengenai para Sarjana Barat dan Tokoh Sufi yang membawa ‘politik ragu-ragu’ yang bersifat anti-Islam atau anti-Wahhabi.

Menggambarkan wujudnya usaha untuk mempertembungkan Sufism dengan gerakan-gerakan Islam. Projek ini dikepalai oleh UAE bagi mengurangkan pengaruh Arab Saudi dan Qatar.

Kesatuan Ulamak vs Majlis Hukama


(1) Selain Tabah Foundation, UAE turut menubuhkan Majlis Hukama pada 2014, iaitu selepas Persidangan di Nixon Centre, Washington yang diceritakan tadi.

Majlis Hukama dianggotai oleh agamawan yang berpendirian Anti-Ikhwan, terutamanya daripada al-Azhar di Mesir. Majlis ini diketuai oleh Dr Ahmad al-Tayyib sendiri.

(2) Antara faktor penubuhannya ialah bagi menyaingi Kesatuan Ulamak yang berpangkalan di Qatar dan sebelum ini dipimpin oleh Syeikh Yusof al-Qaradawi.

Agamawan terkenal Syaikh Abdallah bin Bayyah meninggalkan Kesatuan Ulamak dan kini menganggotai Majlis Hukama, tindakan ini dianggap satu kejayaan bagi Majlis Hukama.

(3) Fenomena ini menggambarkan persaingan UAE dan Qatar dalam merebut pengaruh sebagai kuasa dominan Islam. Qatar tidak tergugat dengan persaingan ini.

Walaupun Qatar ada membantu projek-projek Amerika, namun mereka agak terbuka dengan gerakan-gerakan Islam. Bahkan mereka bertindak sebagai pelindung.

(4) Sedikit sebanyak Qatar dapat ‘saham’ di sini, dan ia turut memberi untung kepada gerakan-gerakan Islam untuk bergerak di arena antarabangsa.

Untuk mengurangkan pengaruh Qatar, UAE yang membawa moderate (kesederhanaan) turut mengambil manfaat daripada kerja-kerja Amerika mencorak Islamophobia.

Rusia dan Chechnya vs Blok Amerika

(1) Pada 2016 telah diadakan Muktamar Internasional anjuran UAE dan Checnya yang penuh kontroversi. Menggambarkan wujudnya persaingan Amerika-Rusia.

Checnya yang beraliran Sufism adalah rakan rapat Rusia yang mengamalkan pendekatan yang sama dengan UAE iaitu Sufi-Sekular yang menolak politik.

(2) Dalam masa yang sama Rusia sendiri menyimpan perasaan benci terhadap Arab Saudi kerana bersama Amerika menentang Soviet dalam Perang Dingin.

Justeru, Rusia menggunakan Chechnya untuk berpakat dengan UAE, bagi menganjurkan muktamar tersebut. Apa yang pentingnya muktamar itu?

(3) Muktamar tersebut tidak dijemput Arab Saudi untuk menyertai. Bahkan muktamar tersebut memutuskan bahawa Wahhabi Salafi bukan dari kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Hal ini telah mengundang kemarahan Arab Saudi. Rusia di sebalik muktamar tersebut sedikit sebanyak dapat menguatkan pengaruhnya menghadapi blok Amerika.

(4) UAE turut sama dapat ‘saham’ besar berikutan muktamar ini untuk mendominasi kuasa Islam mengatasi Arab Saudi yang agak setia dengan Amerika.

Seolah-olah Rusia ingin mengheret UAE dan Mesir untuk berada di bloknya bersama-sama Chechnya secara halus bagi berhadapan dengan Arab Saudi yang merupakan sekutu Amerika.

Salafi-Wahhabi vs Sufi-Sekular


(1) Sepertimana yang diceritakan tadi, pada 2017, Qatar cuba disingkir keluar daripada persaingan ini kerana dianggap membela gerakan-gerakan Islam. Namun, persaingan masih berterusan.

Ketika itu media-media blok Arab mula menyerang Qatar atas alasan membiayai keganasan dan mempunyai hubungan dengan Iran (Bulan Sabit Syiah).

(2) Qatar bagaimanapun menafikannya. Antara yang memutuskan hubungan dengan Qatar ialah Arab Saudi. Tindakan Saudi tersebut telah dipuji oleh Donald Trump.

Setelah mengikis pengaruh Qatar dalam persaingan ini, maka yang berbaki adalah persaingan UAE dan Arab Saudi. Dalam banyak isu, mereka dilihat bersatu.

Tetapi secara belakang tabirnya mereka berkelahi, dan bersaing. Sepertimana yang saya nyatakan tadi, Arab Saudi berfahaman Salafi-Wahhabi, manakala UAE Sufi-Sekular.

(3) Pengaruh UAE terhadap al-Azhar sedikit sebanyak memberi saham untuk UAE menang dalam persaingan ini. Dengan semaraknya isu ‘Wahhabi bukan Ahlus Sunnah’ UAE akan dapat pengaruh.

Justeru, mereka perlu meniupkan sektarian mazhab memecahkan Wahhabi atau Salafi daripada kumpulan Sunni. Inilah yang sedang berlaku pada hari ini.

(4) Pendekatan Islam cara UAE yang membawa tema sufi ini telah melibatkan beberapa tokoh terkenal, seperti Dr Ahmed Tayyib, Dr Ali Jum’ah, dan Syeikh Abdullah bin Bayyah.

2019 Tahun Toleransi

(1) Pada September 2019, Kerajaan PH telah mengangkat Syeikh Abdullah bin Bayyah dan diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah. Dalam masa yang sama kehadiran Dr Usamah al-Azhari.

Para Haba’ib yang berada di dalam Tabah Foundation turut kerap hadir ke Malaysia. Bahkan pada akhir 2019 mereka ‘berkampung’ di Indonesia.

(2) Bahkan, UAE telah mengisytiharkan bahawa 2019 sebagai Tahun Toleransi sebagai bentuk pengukuhan imej moderate yang selari dengan Sufi-Sekular.

Dasar ini bagi berhadapan dengan penentang dan pesaing mereka dari kalangan negara-negara Syiah seperti Iran, dan juga gerakan-gerakan Islam khususnya rangkaian Ikhwan.

(3) Selain itu, pada 2019 juga Donald Trump menyatakan hasrat untuk mengisytiharkan Ikhwan sebagai gerakan pengganas. Tindakan ini turut memberi ‘saham’ kepada UAE.

Iaitu bagi menghadapi Turki-Qatar yang agak menyebelahi gerakan Islam, yang dilihat mempunyai pengaruh dalam persaingan di Yaman, Libya dan Sudan.

(4) Justeru, bagi melonjakkan UAE sebagai kuasa dominasi Islam, ialah dengan menjaja dan membakar isu sektarian mazhab (Wahhabi) di seluruh dunia bagi berhadapan Arab Saudi

Selain itu, mereka memperkenal pendekatan Sufi-Sekular (moderate) bagi mengekang pengaruh Turki-Qatar, dan pendekatan anti-Syiah bagi berhadapan dengan pengaruh Iran.

Pengaruh luar mencorak tanah air

(1) Kita boleh lihat frame mereka cuba mengaitkan gerakan-gerakan Islam dengan Salafi Jihad atau Wahhabi. Sedangkan Ikhwan juga turut ditentang oleh bapak Wahhabi iaitu Arab Saudi.

Sekiranya benar Ikhwan itu Wahhabi, sudah pasti Arab Saudi menjadi kuasa yang melindungi gerakan-gerakan ini. Tetapi tidak berlaku sedemikian.

(2) Dalam masa yang sama, Ikhwan juga mempunyai elemen kesufian yang cukup besar, dalam menggerakkan gerakan ini. Sepatutnya UAE turut melindungi gerakan-gerakan ini atas nama kesufian.

Tetapi mengapa UAE berpakat dengan Mesir (al-Azhar) untuk menyekat Ikhwan? Ini juga perlu difahami bahawa pertembungan itu bukan pada nama kesufian, tetapi pada sekular dan moderate yang dibawa oleh UAE.

(3) Di Malaysia juga turut menerima tempias persaingan ini apabila gerakan Islam PAS turut dilabel Wahhabi sebagai strategi menjauhkan orang daripada PAS.

Dalam masa yang sama, pendekatan Sufi-Sekular yang dibawa oleh UAE menyatakan ‘tidak bersetuju’ terhadap sistem khilafah.

Mereka yang terkesan dengan Sufi-Sekular pasti akan membawa idealogi ‘tidak bersetuju’ dengan usaha-usaha mengembalikan Khilafah Islamiah khususnya yang dibawa oleh PAS

(4) Ustaz-ustaz yang mengaji di al-Azhar Mesir ada yang terkesan dengan pengaruh Mesir-UAE ini. Mereka yang balik dari Syria ada yang membawa pengaruh anti-Syiah.

Manakala mereka yang balik dari Arab Saudi ada yang membawa pengaruh Salafi-Wahhabi. Begitulah rencamnya dunia Islam di ambang kemunculan Dajjal.

(5) Isu Ruwaq Jawi dilihat pertembungan Persatuan vs Talaqqi, hakikatnya ia adalah kesan persaingan pengaruh negara-negara Arab sesama mereka untuk menjadi juara.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 26/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -