PAS Setiawangsa santuni B40 Kembali ke Sekolah

- Advertisement -

SETIAWANGSA: PAS Kawasan Setiawangsa merasa terpanggil mengadakan program Kembali ke Sekolah bertujuan menyerahkan bantuan persekolahan dan gunting rambut percuma kepada masyarakat sekitar khususnya di UPU Keramat Wangsa, di sini.

- Advertisement -

Menurut Ketua Penerangan PAS Setiawangsa, Ustaz Ubaid Akla, program ini diadakan saban tahun bagi meringankan sedikit sebanyak beban kos sara hidup sebahagian masyarakat khususnya golongan asnaf dan anak yatim.

Seramai 21 murid sekolah rendah dan menengah menerima bantuan persekolahan yang disempurnakan oleh Yang Dipertua PAS Setiawangsa, Abdul Halim Hassan di perkarangan Surau Darul Iman, Kelumpuk Tempua AU3, hari ini.

Mereka menerima bantuan beg sekolah dan baucar tunai untuk kegunaan peralatan sekolah lain yang boleh ditebus di kedai uniform milik pengusaha Muslim di Parlimen Setiawangsa.

Abdul Halim menekankan di dalam ucapan perasmiannya mengenai matlamat dan hala tuju PAS bukan sekadar politik semata-mata tetapi sebagai gerakan dakwah bagi memastikan umat celik dalam memahami Islam dalam erti kata sebenar.

Ustaz Ubaid yang juga Pengarah Program dalam ucapannya merakam penghargaan atas sumbangan yang diberikan hasil kutipan infaq dalam kalangan ahli-ahli dan dermawan PAS.

“Mereka ini menyalurkan sumbangan kepada parti dan pihak parti salurkan kepada para asnaf dan mereka memerlukan dengan menekan Hadis Baginda S.A.W bahawa barangsiapa menunjukkan sesuatu jalan kebaikan, mereka juga memperoleh ganjaran pahala sebagaimana orang yang melakukan kebaikan tersebut,” ujarnya.

Program turut dimeriahkan dengan acara gunting rambut percuma kepada anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan pada 2 Januari hadapan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Kamisan Sujak dan Naib Yang DiPertua PAS Setiawangsa, Dr Zuraini Hashim.

Juga Ketua Urusan Ulamak PAS Setiawangsa, Ustaz Syahir Safwan Ahmad Suhaimi dan Ketua Pemuda PAS Setiawangsa, Ustaz Anas Fitri Che Man.

Majlis diakhiri dengan sesi fotografi dan jamuan ringan untuk semua penerima bantuan dan masyarakat yang hadir. – HARAKAHDAILY 29/12/2019

- Advertisement -