Pesuruhjaya ziarah keluarga Almarhumah Rogayah

    LUMUT: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria mengetuai delegasi PAS Perak menziarahi keluarga Guru PASTI, Almarhumah Rogayah Bakar yang telah kembali kerahmatullah di sini hari ini.

    Advertisement

    Almarhumah Rogayah bersama dua lagi guru PASTI yang turut cedera, terlibat dalam satu kemalangan membabitkan Perodua Viva yang dipandunya dengan sebuah bas dari arah Sitiawan menghala ke Lekir.

    Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 6.40 pagi di persimpangan lampu isyarat Kampung Tersusun Batu 7, Lekir, Setiawan ketika mereka dalam perjalanan untuk menghadiri Kursus PASTI di Ipoh.

    Almarhumah Rogayah merupakan Guru PASTI Huda 2 meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua orang lagi sedang menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.

    Mereka yang cedera itu ialah guru PASTI Istiqamah, Nurul Huda Mohamed dan Guru PASTI Huda 1, Nurmazura Abu Kasim.

    “Almarhumah meninggalkan empat orang anak yang masih bersekolah serta beliau merupakan seorang petugas jemaah yang sangat berdedikasi dan disenangi oleh rakan-rakan,” ujar Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol.

    Beliau mewakili PAS Perak melahirkan rasa dukacita atas kehilangan insan yang sangat berjasa ini dan mendoakan agar rohnya tergolong dalam kalangan orang-orang beriman dan mendapat keampunan dari Allah S.W.T.

    Turut bersama dalam ziarah tersebut, Yang DiPertua PAS Kawasan Lumut, Rasli Abd Rahman dan Setiausaha PAS Lumut, Hamidun Ahmad dan Pengarah PASTI Perak, Ustaz Azhari Yahya.

    Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam atas nama Pusat Asuhan Tunas Islam Perak, 08013010027665. – HARAKAHDAILY 2/11/2019