Pemikiran umat sedang diracuni idealogi rosak

    - Advertisement -

    BAGAN SERAI: Ancaman pemikiran idealogi yang jelas bertentangan dengan syariat Islam kini gigih diracuni pihak tertentu dalam kalangan masyarakat di mana ia bertujuan memisahkan Islam daripada kehidupan harian.

    - Advertisement -

    Pengarah Ameerah Negeri Perak, Haslina Halid mengulas isu tersebut di pentas Ameerah Talk yang dimoderatorkan Timbalan Pengarah Ameerah Perak, Nuradilla Mohd Kamal Sempena Sambutan Ulang Tahun PAS Kali Ke-68 Peringkat Negeri Perak di sini, semalam.

    “Fahaman liberalisme yang lahir dari fahaman sekular giat memperjuangkan kebebasan yakni tidak mahu umat Islam terikat dengan ajaran agama mereka. Sebagai contoh, LGBT memperjuangkan hak asasi manusia sehingga fahaman agama dicabut untuk mereka bergerak bebas.

    “Pemikiran ini mengancam kesejahteraan akidah umat Islam. Masyarakat yang terpengaruh dengan fahaman ini akan kufur,” tegasnya menjawab soalan moderator mengenai cabaran wanita dan masyarakat masa kini.

    Selain itu menurut Haslina, anak muda pada hari ini telah dibentangkan dengan hiburan budaya asing yang melampau hingga mereka tidak menyukai ilmu pengetahuan dan perkara-perkara ilmiah.

    “Budaya asing ini telah menyemai budaya yang bertentangan dengan Islam. Misalnya ‘couple’ di kalangan anak muda dilihat sebagai tanda kemajuan oleh masyarakat muda hari ini.

    Trend Hijabista kini yang menampilkan pemakaian bertudung bagi Muslimah namun cara yang digayakan itu tidak sempurna dan diperhias dengan solekan tebal yang menarik perhatian. Ini merupakan budaya yang tidak sihat yang sedang menular sekarang.

    “Apa yang kita perlu lakukan bagi menghadapi mehnah ini ialah bersedia mengukuhkan akidah dan pemantapkan iman. Amalkan cara hidup Islam iaitu meletakkan solat sebagai amalan yang wajib diamalkan.

    “Allah telah menyebut di dalam al-Quran bahawa solat itu dapat mencegah daripada keburukan dan kemungkaran. Oleh itu jika dalam keadaan kita solat namun masih berlaku kemungkaran, solat tersebut harus disemak semula kesempurnaannya,” jelasnya.

    Beliau turut menekankan pengamalan budaya setempat yang baik dalam kalangan masyarakat dengan menghadiri program komuniti bagi melahirkan kesepaduan dan mendatangkan barakah dari Allah kerana berkat bersilaturahim. – HARAKAHDAILY 24/11/2019

    - Advertisement -