Niat istiqamah, Allah bantu tempuh kesukaran

    - Advertisement -

    KUALA KANGSAR: Cabaran perjuangan sememangnya banyak menempuh detik kesukaran, namun hakikatnya Allah S.W.T melapangkan banyak pemberian-Nya apabila memasang niat untuk istiqamah.

    - Advertisement -

    Menurut Exco Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hafez Sabri, hal tersebut selaras janji Allah S.W.T kepada orang beriman bahawa mereka yang membantu agama-Nya akan dibantu, dikuatkan serta dikukuhkan pendiriannya.

    Tips terpenting itu antara perkongsian beliau dalam Forum Bicara Tarbiyah Pelapis pada Ijtimak Tarbawi 7.0 Pemuda PAS Malaysia di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini petang tadi.

    Beliau meluahkan pengalaman sebagai petugas pekerja sepenuh masa parti di mana menjadi penggerak jamaah sejak di tahun akhir pengajian di universiti dengan menerajui beberapa jawatan.

    Antara pernah dijawat beliau adalah Ketua Pemuda PAS Cawangan Tanjung Rambutan, Exco Dewan Pemuda PAS Kawasan Tambun dan Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Perak di bawah beberapa kepimpinan.

    Kini beliau juga adalah Ketua Penerangan PAS Perak dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak serta Ketua Pemuda PAS Tambun selain aktif dalam NGO yang diterajuinya di Dun Manjoi.

    Pengalaman istiqamah tersebut juga difahamkannya sebagai pahit manis kehidupan dan perjuangan apabila turut menyaksikan para pimpinan yang pernah dikhidmatinya beralih arah meninggalkan parti.

    Namun menyatakan, merasa bertuah dan antara faktor lain mengikat kekuatan dalam perjuangan adalah semangat ukhuwah bersama sahabat dan pimpinan seperjuangan.

    Beliau turut mengenang antara pemimpin pernah bersamanya yang kini mereka telah pergi mengadap Allah iaitu Almarhum Ustaz Norazli Musa, Almarhum Ustaz Mohd Zawawi Hassan dan Almarhum Dr Raja Iskandar Raja Yaacob.

    “Kita boleh sahaja untuk memberi alasan kepada manusia termasuk pimpinan mungkin boleh terima. Tetapi yakinkah kita alasan tersebut diterima Allah kerana hanya kita dan Allah S.W.T sahaja tahu.

    “Kadang-kadang kita tidak tahu ada orang lain lebih susah daripada kita, tetapi boleh sampai ke tempat program, boleh hadir mesyuarat tanpa mengeluh atau tanpa alasan,” nasihatnya.

    Turut bersama sebagai panel adalah Pengarah Akademi Tarbiyah (AKTAR) Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Haron dan dipengerusikan Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi. – HARAKAHDAILY 15/11/2019

    - Advertisement -