Akhirnya jualan antik juga yang laku

- Advertisement -

DALAM masa kita semua mengejar kemodenan, tanpa kita sedar, masa lampau, jauh meninggalkan kita. Banyak perkara yang terpaksa kita tinggalkan dalam waktu kita merubah hidup kita ke arah yang lebih baik, seiring dengan berkembangnya teknologi. Perkakas-perkakas lama yang dahulu mungkin menjadi alat penting dalam perkerjaan kita, kini menjadi bahan buangan ataupun sejarah.

Walaupun begitu, bukan semua benda yang lama perlu kita buang walaupun ianya kelihatan sudah ketinggalan zaman. Malah mungkin ada dalam banyak-banyak benda itu, menjadi barangan antik, yang dicari oleh si penggemar barang itu. Makin lama, harganya makin mahal, bersesuaian dengan nilainya.

Dalam politik, ianya kelihatan begitu juga. Barangan antik menjadi aset berharga bagi sesetengah politikus. Barangan lama seperti perkauman, agama digemari mereka untuk dilagukan. Ianya tidak lain kerana mahu mengikut tauladan British yang menggunakan kaedah pecah dan perintah. British memang selalu meninggalkan titik panas di negara-negara yang mereka jajah. Paling disukai mereka, titik sempadan agama, negara dan bangsa.

Dalam PRK Tanjung Piai kali ini, apa yang diludah penuh amarah oleh PH dahulu, disedut, dijilat dan dihirup kembali hingus perkauman dan agama yang mereka benci dahulu. Kalau dahulu betapa BN lah yang paling jahat kerana menggunakan isu perkauman dan agama dalam setiap kali pilihan raya, maka kali ini, hingus dan kahak hijau perkauman itu tiba-tiba bertukar menjadi cendol dan pengat yang lazat bagi PH. Mungkin bagi mencapai matlamat Malaysia Baharu tajaan mereka.

Ianya cukup laku. Isu ini bagaikan barang antik yang sangat-sangat dicari oleh peminatnya. Dan PH telah mendapatkannya dan menggunakan sepenuhnya dengan cara mereka. Apa lagi yang ada dalam fikiran kita apabila melihat seorang Menteri mengugut pengundi Tanjung Piai menggunakan isu perkauman. Timbalan Menteri pula mengugut dengan ugutan tembakan, huru-hara, kematian, syurga dan neraka kepada bukan Islam? Sedangkan konsep syurga neraka ialah perkara yang wajib diimani dalam bab hari akhirat.

- Advertisement -



Sekarang, tindakan PH ini bermaksud sama ada apa yang dibuat BN dahulu tidak salah, ataupun PH sekarang sejahat BN dahulu menggunakan isu ini. Dan apabila Timbalan Menteri itu mengungkit kembali kejadian Operasi Lalang 32 tahun lalu, apa yang beliau lupa ialah, kerajaan ketika itu, pimpinan PM ke-4. Kerajaan yang mulakan isu perkauman itu dan yang ditangkap ialah pemimpin pembangkang. Adakah beliau sekarang merancang hal yang sama?

Dan PAS juga bagaikan barangan yang berharga yang sangat bernilai untuk dijadikan tarikan pengundi dalam PRK ini. Walaupun tidak bertanding, tetapi serangan lebih diberatkan kepada PAS. Suka benar mereka dengan PAS. Saya yakin nanti akan timbul semula isu RM90 juta, cuma saya tak dapat meneka bagaimanakah edisi kali ini. Dengan isu Jho Low berubah wajah menjadi beruang menjadi bacaan paling tinggi di akhbar Sinar, perbicaraan kes 1MDB agak besar liputannya, terutama oleh Malaysiakini, kejutan apa yang boleh kita ramalkan dalam PRK kali ini dalam cara PH berkempen?

PH tidak laku jika menjual produk pembangunan kerana semua pembangunan telah dilaksanakan BN dahulu. PH pasti gagal jika bercakap pasal integriti kerana berlambak-lambak jentera kerajaan berkampung di Tanjung Piai sekarang dengan cara sama macam dahulu seperti menurap jalan. Pastinya PH dilihat bodoh jika mahu berkempen mendakwa menggunakan Islam mengikut Rasulullah ajarkan kerana yang jahil juga tahu hanya PAS boleh diharap dalam membela agama.



Jadi sekarang PH tidaklah berbeza dengan BN dahulu, zaman kejahatan mereka ketika kebencian mereka meluap-luap terhadap BN. PH tanpa segan silu, mengambil tempat BN kini bersekali dengan akhlak buruknya dahulu. BN yang kelihatan insaf sekarang ini, mengambil tempat PH dahulu, di sisi PAS. Dan seperti yang kita maklum, apabila ada parti yang mahu menjadi baik, pasti akan mencari PAS.

Inilah sebabnya PAS selalu menjadi mangsa kepada si penjahat seperti BN dahulu (kini Presiden Umno sudah insaf dan meminta maaf) dan PH sekarang. Lojiknya jika mereka baik, mereka tidak akan berbuat jahat kepada PAS yang diketahui dunia sebagai orang baik-baik. Malah mereka sebaliknya akan membantu dan bersama dengan PAS bagi menyebarkan kebaikan.

Mana ada orang baik berbuat khianat, walaupun kepada orang jahat. Contohnya Rasulullah tidak pernah mengajar sebegitu. Walaupun musuh, diampunkan Baginda ketika berkuasa, diberikan peluang walaupun Baginda hampir dibunuh. Tidak jahat lagikah mereka dengan menipu rakyat, sekat royalti Kelantan, guna jentera kerajaan, hasut kebencian kaum, tinggalkan Islam? PH ikut Rasulullah kah begitu?

Kita tahu DAP menguasai PH dan diakui oleh Tun sendiri. Maka amat benarlah arahan PAS kepada ahlinya dan saranan kepada pengundi lain di Tanjung Piai untuk mengundi BN yang walaupun juga bukan Islam, tetapi MCA tiada kuasa untuk melanyak Islam seperti lawan mereka itu. Jika calon bebas atau selain daripada BN diundi, dibimbangi ia akan memberikan kemenangan kepada PH yang kemudiannya akan merugikan Islam.

MOHD NASIR ABDULLAH
6 November 2019 – HARAKAHDAILY 6/11/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.


- Advertisement -