Tekanan hidup punca keganasan rumah tangga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kehidupan yang penuh dengan tekanan dilihat menjadi punca keganasan rumah tangga terhadap kaum wanita kian meningkat mutakhir ini, sekali gus menuntut pendekatan agama dalam mengatasinya.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, hanya dengan kembali mendekatkan diri kepada Allah dan menjalani aktiviti kehidupan menurut ajaran Islam dapat menangani masalah tersebut.

Selain itu menurutnya, kerajaan juga mempunyai peranan untuk mewujudkan kesejahteraan keluarga yang menjadi asas pembentukan negara dengan memberi khidmat kaunseling kepada bakal pengantin dan pasangan telah berumah tangga.

Beliau mengulas mengenai keganasan rumah tangga terhadap kaum wanita yang semakin banyak dilaporkan dilakukan oleh suami berlatar belakang profesional seperti peguam, doktor dan seumpamanya.

Laporan tersebut juga menyatakan, kes-kes seumpama kini tidak lagi berlaku ke atas wanita oleh suami dari golongan bermasalah seperti penagih dadah atau terlibat jenayah sebagaimana sering dipaparkan media selama ini.

Menurut Ustazah Nuridah, kehidupan beragama dengan melazimi diri untuk taat dan mengingati Allah setiap masa menjadikan hidup seseorang tenang serta sabar dalam menghadapi tribulasi kehidupan.

“Kasih sayang, hormat-menghormati dengan komunikasi berkesan juga akan dapat menangani seseorang daripada didera atau mendera dalam rumah tangga.

“Kita (Muslimat PAS) pernah mengesyorkan kepada pihak kerajaan supaya mengadakan Kursus Rumah Tangga Sejahtera bukan sahaja kepada bakal pengantin, tetapi juga kepada pasangan yang telah berumah tangga.

“Ini untuk menguatkan lagi rasa kasih sayang, hormat-menghormati, faham-memahami antara pasangan. Kerajaan juga atau pihak-pihak berkenaan diminta cepat bertindak dengan memanggil pasangan jika aduan keganasan ini dilaporkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2019

- Advertisement -