Peguam Negara: Letak jawatan atau pecat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mendesak supaya Peguam Negara, Tommy Thomas meletak jawatan atau dipecat daripada jawatannya sekiranya beliau gagal untuk berbuat demikian.

- Advertisement -

Ia berikutan tindakan Tommy yang telah mencampuri urusan mahkamah dengan mengemukakan afidavit yang akhirnya terbukti bertentangan dengan keputusan inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, kali pertama dalam sejarah negara seorang peguam negara akan dihadap ke mahkamah atas kesalahan mengganggu urusan inkues.

“Ini membuktikan seolah-olah ada niat jahat dari beliau (Tommy) yang sengaja menafikan keputusan inkues supaya memihak kepada pandangan beliau seperti terkandung dalam afidavit yang dikemukan.

“Bahawasanya arwah Adib mati disebabkan dilanggar kenderaan bukan disebabkan pembunuhan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Muafakat di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya hakim telah mengarahkan polis dan peguam negara mengambil tindakan kerana keputusan inkues mendapati terdapat unsur-unsur jenayah yang mengakibatkan kematian arwah Muhammad Adib.

Namun apa yang membimbangkan pihaknya, kata beliau dengan keberadaan Tommy sebagai peguam negara dibimbangi proses perbicaraan tidak akan memberi keadilan kepada arwah Adib.

“Ia kerana beliau pernah mencampuri proses inkues maka ada kemungkinan besar beliau akan juga mengganggu gugat semasa proses pendakwaan dan pembicaraan berjalan nanti,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, pihaknya turut mendesak supaya Menteri Perpaduan, Wartha Moorthy juga meletak jawatan kerana beliau merupakan orang penting yang mencetuskan kepada rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman tahun lalu.

Sementara itu, beliau mengatakan bahawa pihaknya akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sekiranya kedua individu tersebut tidak meletak jawatan dan tidak dipecat oleh kerajaan. – HARAKAHDAILY 1/10/2019

- Advertisement -