GPS lebih berani daripada DAP

KEBIMBANGAN DAP dengan menyalak untuk menyekat pemimpin utama PAS datang ke Sarawak adalah petanda sikap pengecut dan tiada modal oleh parti yang bukan mewakili suara anak watan Sarawak itu. Malah PAS lebih kagum dengan sifat ‘gentlemen’ GPS yang terdiri dan terbukti mewakili semua kaum dan masyarakat peribumi Sarawak lebih bersifat terbuka menerima tetamu atas semangat rakyat Malaysia. Nilai warganegara melalui Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan nyata tidak dapat dihayati oleh DAP.
 
Memetik kenyataan Timbalan Presiden DAP Sarawak, David Wong melalui laman portal berita Sarawak Tribune Online untuk menyekat Dato’ Seri Abdul Hadi Awang ke Sarawak adalah gambaran awal bagaimana mereka akan memerintah Sarawak nanti. Itulah sikap tertutup dan katak bawah tempurung yang tidak cuba untuk mengenal budaya, adat resam serta agama orang lain. Menggelar pemimpin Islam dengan “religious bigots” adalah sikap keterlaluan melangkaui undang-undang kerana tiada kes yang mensabitkan kesalahan sedemikian terhadap Presiden PAS sedang orang Islam tidak memberi gelaran kepada pemimpin DAP.
 
Rakyat Sarawak perlu menilai kenapa DAP bersikap sedemikian. Itu adalah petanda bahawa tiada bangsa lain dari kalangan peribumi terutama orang Islam yang boleh menasihati mereka akan apa jua sikap baik dari masyarakat peribumi yang perlu DAP pelajari. Inilah bukti yang jelas dari DAP Sarawak sendiri yang tidak pernah atau akan mewakili suara orang Melayu, Iban atau peribumi Sarawak. Kita bimbang sikap tertutup mereka ini akan turut mempengaruhi rakan-rakan Cina kita yang lain untuk membenci orang Islam.
 
PAS Sarawak sepenuhnya dipimpin oleh bangsa Sarawak dan peribumi Sarawak. Ia sekali gus membuktikan PAS diterima di Sarawak. PAS Sarawak berharap dan mengajak DAP untuk sama-sama mempelajari budaya orang Sarawak yang lemah lembut, menghormati tetamu, mempelajari budaya dan agama orang lain berbanding berterusan menyebar kebencian terhadap PAS.
 
ZHARUDIN NARUDIN
Ketua Penerangan PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 28/9/2019