PH jual aset negara, tapi hutang terus meningkat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan PH yang bertindak rakus menjual aset negara secara besar-besaran kepada kuasa asing kononnya untuk membayar hutang negara dilihat mengulangi penipuan kepada rakyat.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim berkata, pemimpin Kerajaan PH masih dengan sikap sebelum PRU14 dahulu apabila membina persepsi rakyat kepada perkara tidak betul dan kenyataan separuh masak.

Tempelak beliau, hal tersebut dilihat cuba mengelirukan rakyat sedangkan hutang negara terus meningkat kepada hampir RM800 bilion berbanding RM686.8 bilion ditinggalkan Kerajaan BN pada 9 Mei 2018.

Beliau menyuarakan pertikaian sebagai mengulas pendedahan Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi berhubung penjualan aset negara oleh Kerajaan PH

Menurut Abdul Muein, sebanyak RM35.789 bilion aset negara telah dijual Kerajaan PH dalam hanya 500 hari pemerintahannya bersamaan purata RM60 juta sehari atau RM2.5 juta setiap jam.

“Kenapa hutang negara makin meningkat? Kenapa kerajaan membuat pinjaman, untuk apa? Jika benar Kerajaan menjual aset negara sehingga memperoleh RM36 bilion, ke mana wang itu? Adakah benar kerajaan melunaskan hutang?

“Kalau hutang negara dibayar oleh Kerajaan PH, kenapa hutang negara tidak berkurang? Persoalannya, ke mana duit perjualan aset negara dibelanjakan?” aju beliau yang tertumpu kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Bekas eksekutif kewangan berpengalaman ini turut mempersoal tindakan Kerajaan PH berhutang dengan negara Jepun melalui Bon Samurai yang didakwa juga untuk tujuan bagi membayar hutang negara.

Oleh demikian bidasnya, dengan pinjaman hutang tersebut dan juga penjualan aset negara sebesar didedahkan, maka peningkatan hutang negara berbanding di bawah pemerintahan BN benar-benar sesuatu yang mencurigakan.

Sehubungan itu beliau menggesa agar Kerajaan PH berhenti mengelirukan rakyat sebaliknya menuntut agar penjelasan segera diberikan berhubung keghairahan menjual aset-aset negara tanpa terlihat kesan positifnya. – HARAKAHDAILY 27/9/2019

- Advertisement -