Bukan sahaja sokong PAS, sertai gabungan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah, menyeru badan bukan kerajaan (NGO) menyokong perjuangan PAS yang ingin menegakkan Islam di negara ini.

- Advertisement -

Menurutnya, bukan hanya sokongan perwakilan Kebajikan Rangkaian Bekas ATM (Kerabat) sahaja, sebaliknya NGO lain diseru menyokong perjuangan parti itu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kerabat Negeri Kelantan Kali Ke-4, di Bangunan Purnama, di sini semalam. Turut berucap pada majlis itu, Pengerusi Kerabat Negeri Kelantan, Kapten (B) Ruslee Yaacob dan Ketua Kerabat Kawasan Pengkalan Chepa, Ahmad Mahmud.

Menurutnya lagi, bukan hanya menyokong sebaliknya menyertai gabungan yang diwujudkan demi untuk masa depan politik negara.

“Keadaan politik sekarang begitu tergugat khususnya berkaitan agama Islam yang kini mula dicerobohi,” ujarnya.

Menyentuh tentang Kerabat, Amar berpendapat perjuangan ATM tidak jauh bezanya dengan PAS, iaitu untuk  mempertahankan kedaulatan negara.

“Dalam Islam negara ini perlu disayangi serta dipertahankan yang mana ianya bersesuaian dengan perjuangan PAS.

“Cuma bagi PAS perjuangan menegakkan agama di negara ini amat penting supaya ianya berdaulat dengan Islam,” ujarnya pada majlis yang dihadiri lebih 700 orang perwakilan dari seluruh kawasan itu.

Katanya, jika diteliti dari segi sejarah Tanah Melayu bermula dengan Islam dari Melaka.

Tambahnya, kerana itu ia perlu dipertahankan sampai bila-bila di negara ini. – HARAKAHDAILY 27/9/2019

- Advertisement -