Berpisah bukan solusi selesai perselisihan negara

- Advertisement -

BINTULU: Memilih menyelesaikan masalah perselisihan dengan cara berpisah adalah pendekatan politik yang salah dan tidak bijak, demikian peringatan ditegaskan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Beliau mengemuka contoh realiti berlaku iaitu Sudan Selatan yang berpisah daripada Kerajaan Pusat di mana setelah itu berperang sesama sendiri lantaran tidak dapat mengurus pemerintahan negara dengan baik.

Nasihat tersebut dikemukakan beliau dalam program An Evening With Presiden PAS yang diadakan secara terbuka dengan kehadiran ratusan penduduk di Pantai Tanjung Batu, di sini malam tadi.

“Sepatutnya negara ini makin hari makin besar, bukan makin hari makin kecil. Kalau berpisah negara jadi kecil. (Sedangkan) Dengan kita bersatu, kita kuat. Timor-Timur (Timor-Laste) berpisah dari Indonesia, dari Jakarta, buat kerajaan sendiri. Konon ada hasil minyak.

“Apa yang berlaku ialah orang Barat yang nak menguasai minyak yang ada. Orang Timor-Timur dapat apa? Tidak ada kekuatan, makin kecil. Bangladesh berpisah daripada Pakistan, menjadi negeri paling miskin di dunia. Kita kuat dengan kita bersatu. Cara nak menguat bukan dengan berpisah, tetapi selesaikan masalah itu.

“Selesaikan masalah perselisihan, selesai cara mengurus, bukan berpisah. Negara Eropah, mereka buat Kesatuan Eropah, EU, mereka tak berpisah. EU tiada hasil, tetapi dengan mereka buat Kesatuan Eropah, mereka jadi satu bangsa yang kuat.

“Tiba-tiba kita kesatuan Malaysia, kita minta pecah-pecahkan. Ini satu langkah yang tidak bijak dalam berpolitik,” ujarnya menjawab antara soalan pertanyaan hadirin di majlis tersebut.

Ahli Parlimen Marang ini turut menyentuh keadilan Islam dalam menikmati kehidupan dan kemakmuran negara antaranya kekayaan mestilah dibahagi sesama rakyat tanpa mengira bangsa.

Tetapi katanya, perkara yang terjadi di negara ini apabila kekayaan hanya berpusing dalam kalangan orang-orang kaya terutama kaum Cina menyebabkan mereka terus kaya, sedang rakyat miskin bertambah miskin.

“Kita jual barang, dia letak harga. Dia jual barang dekat kita, dia letak harga. Selama-lamanya dia kaya. Tidak boleh begitu. Mestilah orang Iban kena ada (yang) kaya juga. Melayu ada kaya juga. Jangan orang Cina sahaja kaya.

“Kerana 70 peratus (penduduk Malaysia) adalah Bumiputera dan orang Melayu, (sedangkan) orang Cina (cuma) 24 peratus sahaja. Padahal kita sudah merdeka 50 tahun lebih. Mengapa jadi begini? Dengan sebab itu disebut hak istimewa Bumiputera, kena peratus mereka lebih besar.

“Walaupun demikian, kalau ada orang bukan Islam yang miskin, Cina yang miskin, India yang miskin, wajib kita tolong. Oleh kerana majoriti miskin ialah orang (Peribumi) asal, itu disebut hak istimewa,” jelas beliau mengenai terma dalam Perlembagaan itu.

Tuan Guru turut menekankan betapa pemerintahan Islam memayungi dan menjamin hak keberadaan serta kebebasan semua warna kulit, keturunan, bangsa dan agama, sebagaimana bukti selama 1,400 tahun.

“Di Mesir, ada gereja yang dibina sejak 2,000 tahun sebelum Islam datang, tak dirobohkan hingga hari ini. Di Iran, masih ada rumah ibadah menyembah api orang Majusi. 300 ke 400 tahun sebelum, 3000 tahun sebelum Islam datang.

“Di Indonesia, Islam memerintah di Jawa. Bobobudur rumah ibadah bukan Islam masih ada hingga hari ini. Menandakan kita (pemerintah Islam) tidak paksa penganut agama lain masuk Islam,” terang beliau. – HARAKAHDAILY 16/9/2019

- Advertisement -