Sejarah tercipta, penyatuan yang dicemburui PH

- Advertisement -

TARIKH Keramat……, Tanggal 13 dan 14 September, adalah satu tarikh yang terpahat dalam sejarah sekali lagi bilamana penyatuan ummah berjaya dibentuk oleh PAS dan Umno dalam memeterai Piagam mereka menuju agenda menyelamatkan tanah tumpah darahku.

- Advertisement -

Selepas lebih setahun Malaysia di”jajah” semula oleh PH, piagam rakyat hari ini menjadi saksi kebangkitan rakyat menolak kebobrokan PH yang selama menerajui setahun negara ini, pelbagai anasir buruk, janji tidak ditunaikan, malah kekecohan angkara menyentuh agama dan bangsa, melanggar had sempadan “lampu merah” yang telah ditetapkan dalam kontrak sosial mahupun Perlembagaan Persekutuan.

Adapun kerajaan hari ini banyak dikuasai suara sumbang DAP yang acap kali sengaja membiarkan anggotanya termasuk kepimpinannya merempuh rakus “lampu merah” yang selama ini tidak disentuh pun gabungan kerajaan terdahulu.

Bukan sahaja agama Islam dikritik, dihentam dan dilabelkan pelbagai label, malahan institusi beraja sudah mula diinjak mereka tanpa mereka fikirkan ia adalah suatu yang amat mengguris majoriti rakyat negara ini.

Mereka seolah-olah sudah nekad merempuh kontrak sosial ini dan tidak mustahil mereka merancang menghapuskannya.

Bak kata Tuan Guru Presiden PAS dalam ucapannya sempena Himpunan Perpaduan Ummah, bahawa teori ‘Malaysian Malaysia’ yang dicanang-canang untuk menghapuskan hak bangsa Melayu Bumiputera, dan kedudukan agama Islam jelas merupakan satu ideologi yang salah dan melanggar sempadan bernegara.

Bagi Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pergaduhan yang disebabkan perbezaan bangsa yang berkonsepkan asabiyah dan fanatik adalah salah kerana utusan Allah S.W.T, iaitu para Rasul yang membawa Islam mengajarkan kasih sayang kepada bangsa masing-masing dan melarang asabiyah.

Bagi mengukuhkan ucapan tersebut, beliau memetik satu hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

Bukan daripada kita orang yang berperang di atas dasar asabiyah, bukan daripada kita orang yang bermatian kerana asabiyah dan bukan daripada kita orang yang mengajak kepada asabiyah’.

Rasullullah apabila ditanya, ‘Apakah asabiyah itu?’ Baginda bersabda, ‘Kamu menolong kaummu berlaku zalim’.”

Lantaran itu, Tuan Guru menyimpulkan bahawa alasan slogan ‘Malaysian Malaysia’ kerana diskrimasi Melayu terhadap kaum lain adalah tidak benar.

Malahan baginya Melayu dan Bumiputera paling menjadi mangsa di zaman penjajahan sejak beratus tahun kerana mereka terlebih dahulu berada di sini dan lebih awal menentang penjajah serta menjadi mangsa pertama kezaliman penjajah.

Benar kata Tuan Guru bahawa kesan peninggalannya tidak boleh diatasi dengan mudah dalam masa yang cepat, berbeza dengan kedudukan kaum lain yang datang kemudian, tanpa dinafikan ada juga kalangan mereka yang wajib dibela.

Namun baginya sikap kemanusiaan yang diajar oleh Islam masuk ke dalam hati orang Melayu yang beragama Islam sehingga disebut ‘Islam itu Melayu, Melayu itu Islam’, namun membolehkan hidup bertoleransi bersama kaum lain.

Rakyat tentunya tahu bahawa perjuangan Komunis yang menolak agama dan bangsa tidak layak diperjuangkan di tanah air ini sambil menegaskan bahawa perjuangan Komunis sebenarnya juga adalah suatu bentuk penjajahan untuk mengambil tempat penjajah.

Justeru apa yang dilontar Tuan Guru dalam ucapannya bahawa PAS pernah bersama Umno meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menghalang pengaruh Komunis.

Maka jasa besar para tentera, polis dan pasukan keselamatan yang berkorban nyawa untuk melindungi negara adalah wajib dikenang dan dihargai, bukan dihina dan seterusnya ada pula yang mahu mempertikainya serta mahu mengusik pula sentimen rakyat bahawa kononnya Komunis lah yang memperjuangkan kemerdekaan.

Satu idea yang sangat mengguris jiwa dan raga perajurit, pejuang negara yang bermatian mempertahan negara dengan darah dan nyawa mereka.

PAS pernah bersama, dan pernah bercerai dengan Umno atas asas Islam yang PAS pertahankan, malah PAS pernah dilabel sebagai parti ajaran sesat, namun, bilamana Islam, bangsa dan negara kini diancam anasir jahat yang datang dari dalam parti pemerintah hari ini, maka PAS dan Umno duduk semeja bagi membincang maslahah ummah yang amat memerlukan dua parti ini serius menyelamatkan negara.

Tanggal 14 September, perang ke atas mereka yang menghina Agama, Bangsa dan Negara bermula, maka dapat kita dengar usaha-usaha mahu menggagalkan penyatuan ini sejak sebelum tarikh ini diperdendang khasnya oleh PAN dan DAP.

Tidak kurang pemimpin utama negara yang menghentam penyatuan ini dan memainkan isu lama kafir mengkafir, walhal saff PAS-Umno sudah mula lurus terbentuk, dan pembentukannya amat dinanti rakyat bagi menamatkan kebobrokan PH dalam PRU15 nanti.

Inilah yang ditakutkan PH, bahawa penyatuan ini bisa menjadikan mereka kerajaan sepenggal sahaja.

Rumusan yang dibuat Tuan Guru amat tepat bahawa “Tidak sepatutnya ada pihak yang merasa hairan dengan apa yang berlaku, kerana kita sama-sama dijadikan Allah sebagai bangsa Melayu, tidak boleh menghapuskan sifat Melayu kita dan tidak boleh melangkah keluar daripada sempadan Islam yang menjadi keyakinan kita, umpama bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat,”

Biarlah muafakat ini terjalin dan kukuh demi melihat negara ini kembali kepada landasan asalnya, bukan seperti PH yang menerajuinya kini dengan usaha menterbalikkan sejarah negara.

Cukuplah mereka menipu kita, maka muafakat penyatuan ini harus kita bina demi menyelamatkan Malaysia yang tercinta. – HARAKAHDAILY 14/9/2019 

 

IMG 20190914 WA0042

IMG 20190914 WA0041

- Advertisement -