HPU914: ‘Malaysian Malaysia’ ideologi salah

t6
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Teori ‘Malaysian Malaysia’ yang dicanang-canang untuk menghapuskan hak bangsa Melayu Bumiputera, dan kedudukan agama Islam jelas merupakan satu ideologi yang salah dan melanggar sempadan konsep kenegaraan, tegas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Katanya, pergaduhan yang disebabkan perbezaan bangsa yang berkonsepkan asabiyah dan fanatik adalah salah kerana utusan Allah SWT, iaitu para rasul yang membawa Islam mengajarkan kasih sayang kepada bangsa masing-masing dan melarang asabiyah.

Bagi mengukuhkan ucapan tersebut, beliau memetik satu hadith Rasulullah SAW yang bermaksud, ‘Bukan daripada kita orang yang berperang di atas dasar asabiyah, bukan daripada kita orang yang bermatian kerana asabiyah dan bukan daripada kita orang yang mengajak kepada asabiyah’.

Rasullullah apabila ditanya, ‘Apakah asabiyah itu?’ Baginda bersabda, ‘Kamu menolong kaummu berlaku zalim’.

Lantaran itu, beliau menyimpulkan bahawa alasan slogan ‘Malaysian Malaysia’ kerana diskrimasi Melayu terhadap kaum lain adalah tidak benar.

Bahkan, katanya Melayu dan Bumiputera paling menjadi mangsa di zaman penjajahan sejak beratus tahun kerana mereka terlebih dahulu berada di sini dan lebih awal menentang penjajah serta menjadi mangsa pertama kezaliman penjajah.

“Kesan peninggalannya tidak boleh diatasi dengan mudah dalam masa yang cepat, berbeza dengan kedudukan kaum lain yang datang kemudian, tanpa dinafikan ada juga kalangan mereka yang wajib dibela.

“Namun sikap kemanusiaan yang diajar oleh Islam masuk ke dalam hati orang Melayu yang beragama Islam sehingga disebut ‘Islam itu Melayu, Melayu itu Islam’, namun membolehkan hidup bertoleransi bersama kaum lain,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan bersempena Himpunan Penyatuan Ummah yang berlansung sejak semalam di PWTC, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyentuh perihal perjuangan komunis yang menolak agama dan bangsa yang menurutnya tidak layak diperjuangkan di tanah air ini sambil menegaskan bahawa perjuangan komunis sebenarnya juga adalah suatu bentuk penjajahan untuk mengambil tempat penjajah.

“PAS pernah bersama Umno meluluskan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) bagi menghalang pengaruh komunis, justeru itu, jasa besar para tentera, polis dan pasukan keselamatan yang berkorban nyawa untuk melindungi negara adalah wajib dikenang dan dihargai, semoga dirahmati Allah SWT hendaknya,” jelas beliau.

Katanya, ini membuktikan bahawa dalam semua hal ini, tidak ada perbezaan di antara PAS dan Umno, dan beliau turut menerangkan bahawa Islam mengajar umatnya agar berbalah pada tempatnya, dan bukannya berbalah sepanjang masa serta tidak melampaui batas dalam berbalah.

“Maka tidak sepatutnya ada pihak yang merasa hairan dengan apa yang berlaku, kerana kita sama-sama dijadikan Allah sebagai bangsa Melayu, tidak boleh menghapuskan sifat Melayu kita dan tidak boleh melangkah keluar daripada sempadan Islam yang menjadi keyakinan kita, umpama bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat,” ujarnya lagi.

Teori ‘Malaysian Malaysia’ atau Malaysia milik rakyat Malaysia merupakan prinsip asas DAP yang prinsipnya menolak dasar dan amalan yang hanya mengutamakan sesuatu kaum, agama, gender, serta mengabaikan yang lain kerana berpendapat ia adalah sebuah diskriminasi ke atas kaum lain di Malaysia. – HARAKAHDAILY 14/9/2019

- Advertisement -