Hapus skim pencen kelak jejas golongan pendidik

- Advertisement -

CADANGAN penghapusan skim pencen seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri sebelum ini bakal mempertaruhkan nasib para pendidik di negara ini. Hal ini kerana sektor pendidikan yang mengalami kadar penambahan penjawat awam yang tinggi setiap tahun.

- Advertisement -

Walaupun cadangan penghapusan skim pencen ini tidak melibatkan penjawat yang sedia tetapi sudah pasti ramai yang bakal menjadi pendidik di masa akan datang akan terbeban dengan cadangan tersebut. Buktinya, sehingga kini, bilangan penjawat awam yang terbesar adalah guru iaitu sebanyak 490,000 orang.

Ironinya, Menteri Pendidikan masih lagi gagal untuk bersuara bagi mempertahankan hak para pendidik sebagai suatu sektor penjawat awam terbesar negara. Sedangkan di atas kertas, golongan pendidik akan lebih terjejas dengan skim kontrak serta penghapusan skim pencen bersembunyi di sebalik alasan kononnya untuk penjimatan negara.

Saya melihat ia tidak lain hanya sebahagian daripada langkah penjimatan (austerity) yang ingin diamalkan oleh kerajaan secara perlahan-lahan. Malangnya pengamalan di beberapa negara khususnya di Eropah telah membuktikan langkah penjimatan sebegini hanya akan mendorong kepada masalah sosioekonomi rakyat yang lebih parah pada masa akan datang. Apakah makna sebuah “penjimatan kepada negara” jika kelak rakyat akan lebih merana?

Berbalik kepada isu asal, persoalannya apakah pertimbangan pihak kerajaan untuk mengetengahkan penghapusan skim kerja tetap dan pencen ini tanpa meneliti realiti rakyat di bawah? Jika alasan pemotongan ini adalah demi penjimatan bajet kerajaan, mengapa duit poket rakyat pula yang harus menjadi korban terlebih dahulu?

Justeru, saya berharap Kerajaan tidak gopoh dalam menggantikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam ini. Perkara ini bahkan sekali gus menzahirkan ketidakprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam selain seolah-olah meminggirkan sumbangan besar para pendidik dalam mendidik anak bangsa. Ia seharusnya diteliti dengan mendalam dan pihak kerajaan turut dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengguris hati kelompok penjawat awam yang bakal berkhidmat kepada kerajaan dan negara.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu
12 September 2019 | 12 Muharram 1441 – HARAKAHDAILY 12/9/2019

- Advertisement -