Siri FAQ HPU914 (2)

- Advertisement -

TERDAPAT tuduhan-tuduhan dan juga persoalan yang mengatakan bahawa Himpunan Penyatuan Ummah ataupun HPU 914 adalah merupakan suatu ancaman. Mengapakah mereka ini merasa terancam dengan penyatuan umat Islam, ataupun mereka tidak senang apabila umat Islam, kaum Melayu, mereka hidup bersatu di atas bumi Malaysia yang indah ini?

- Advertisement -

Persoalan ini sebenarnya merupakan suatu perkara yang sudah pun dijawab oleh al-Quranul Karim bahkan ianya merupakan suatu perkara yang telah pun diperjelaskan oleh Rasulullah S.A.W.

Di antara golongan yang tidak suka dengan kesatuan ummah ataupun perpaduan dalam kalangan masyarakat manusia. Ia adalah golongan yang dihasut oleh syaitan. Bahkan syaitan adalah merupakan suatu golongan yang memusuhi manusia dan amat tidak menyukai apabila umat Islam bersatu.

Disebut dalam ayat al-Quran surah al-Ma’idah, ayat 91:

“Sesungguhnya syaitan itu amat berkehendakkan supaya berlaku perselisihan dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam.”

Ayat ini adalah merupakan ayat berkaitan dengan pengharaman arak, judi dan seumpamanya. Di mana syaitan telah menggunakan perkara-perkara seperti ini untuk mewujudkan permusuhan dalam kalangan umat Islam di zaman Rasulullah S.A.W.

Ia berkaitan dengan peringkat ketiga iaitu peringkat di mana diharamkan judi dan arak secara mutlak. Kemudian golongan kedua yang tidak menyukai umat Islam bersatu ataupun tidak senang dengan kesatuan ummah adalah golongan musuh-musuh Islam khususnya dari kalangan golongan kafir, kaum-kaum yang disebut dalam al-Quran iaitulah dalam surah ali-‘Imran ayat 101.

Ayat ini menjelaskan tentang bagaimana peranan yang dilakukan oleh golongan Yahudi di Madinah untuk mewujudkan permusuhan dalam kalangan para Sahabat R.A.

Di mana mereka mengadu domba supaya berlaku perselisihan dan permusuhan dalam kalangan para Sahabat. Di mana ayat ini memperingatkan umat Islam supaya tidak diperdaya dengan golongan Yahudi iaitulah dari kalangan ahlul Kitab yang memusuhi Islam.

Yang ketiga ialah golongan munafik. Mereka amat mencemburui umat Islam apabila umat Islam bersatu. Mereka amat tidak senang dan merasa terancam apabila umat Islam melimpahkan rasa ukhuwwah sesama mereka. Perkara inilah yang telah cuba dilakukan oleh golongan munafik di zaman Rasulullah S.A.W yang diketuai oleh Abdullah bin Ubay.

Dan perkara inilah yang telah dilakukan oleh golongan munafik di zaman para Sahabat R.A yang diketuai oleh Abdullah bin Saba’ seorang Yahudi daripada Yaman yang berpura-pura masuk Islam. Antara tujuannya adalah untuk memecah belahkan para Sahabat R.A.

Dan golongan yang terakhir yang merasa terancam dengan persatuan dan perpaduan umat Islam ialah golongan yang berkepentingan. Mereka merasa terancam apabila kesatuan dan penyatuan umat Islam ini akan mengancam kepentingan mereka, akan menyebabkan mereka rugi, akan menyebabkan keuntungan yang mereka perolehi ataupun kemenangan yang mereka capai akan tergugat dengan penyatuan umat Islam.

Oleh itu, muslimin muslimat, para umat Islam yang berada di seluruh dunia, khususnya umat Islam di negara kita, mari kita bersatu, mari kita mewujudkan wehdatul ummah.

Ingatlah akan kata-kata keramat, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 12/9/2019

- Advertisement -