Gejala sosial: Hanya Islam penyelesaiannya

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Kawasan Kampar melahirkan rasa sungguh dukacita dengan isu pembuangan bayi yang berlaku di Sungai Dipang baru-baru ini. Mayat bayi lelaki dalam keadaan cukup sifat dan masih bertali pusat itu terapung di permukaan air Sungai Dipang telah ditemui oleh sekumpulan kanak -kanak yang sedang bermandi-manda di situ.

- Advertisement -

Menurut statistik yang dikeluarkan dari JKM dalam portal My Metro pada April 2019 dikatakan 1 bayi dibuang dalam masa 3 hari. Satu fakta  yang amat menyayat hati dan mengguris perikemanusiaan, tetapi itulah realiti sebenar yang berlaku dalam masyarakat kita. Malah, berdasarkan statistik dikumpulkan mendapati sejumlah 577 kes pembuangan bayi dan janin direkodkan antara Januari 2014 hingga Disember 2018.

Rekod itu diperolehi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan laporan diterima serta siasatan yang dilakukan sebelum ini. Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Zulkifli Ismail berkata, rekod menunjukkan sebanyak 103 kes buang bayi atau janin berlaku pada tahun 2014, 111 kes (2015), 115 kes (2016), 120 kes (2017) dan 128 kes (2018). Menurutnya, berdasarkan statistik kes buang bayi, negeri Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 135 kes dalam tempoh lima tahun itu diikuti Sabah (67 kes), Johor dan Kuala Lumpur (62 kes), Kedah (42 kes), Perak (35 kes) dan Pahang (33 kes). Longgarnya ikatan kekeluargaan dan pegangan agama terutama di kalangan muda  menjadi punca utama kes ini.

Cukup menyedihkan dan membimbangkan !!

Rentetan peristiwa ini, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kampar ingin mengajak semua pihak  khususnya umat Islam supaya tidak menunding jari menyalahkan mana-mana pihak dan sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu untuk menangani sebarang gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat setempat lebih-lebih yang melibatkan golongan muda-mudi Islam.

Berikut adalah cadangan daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan Kampar sebagai langkah untuk membendung gejala sosial yang kian membarah:

1. Individu – Perlu bijak dalam memilih rakan  pergaulan seharian di samping berusaha menguatkan kefahaman dan pengamalan agama dalam diri masing-masing.

2. Ibu bapa/keluarga – Perlu sentiasa mengambil berat tentang pergaulan anak-anak masing-masing dan perlu mengetahui siapa kenalan meraka, di mana anak-anak berada dan  apa yang mereka buat. Jangan meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada anak-anak. Ibu bapa juga perlu mendekati anak-anak remaja sebagai seorang kawan dengan sentiasa melakukan aktiviti yang bermanfaat bersama-sama.

3. Ahli masyarakat – Masyarakat juga perlu  prihatin terhadap anak-anak remaja/muda-mudi di sekitar kariah masing-masing. Setiap masjid dan surau perlu menjadi “One Stop Centre” bagi remaja dengan menyediakan pelbagai program dan aktiviti yang sesuai dengan anak-anak remaja atau muda mudi Islam.

4. Pimpinan Masyarakat/Kerajaan/NGO – Bantulah masyarakat dengan melaksanakan pelbagai program-program yang berbentuk dakwah Islamiah untuk membentuk  masyarakat yang memahami hukum hakam agama dengan baik serta sentiasa berpegang teguh dengan pegangan agama. Jangan disuburkan budaya hedonisme yang lagha dan boleh menongkatkan lagi gejala sosial dalam masyarakat.

Akhirul kalam, kita sebagai umat Islam wajib yakin dengan janji Allah S.W.T seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam…”
(Ali ‘Imran: 19)

Marilah kita bersama-sama melengkapkan kehidupan kita dan keluarga kita dengan ajaran agama kerana apabila kita mengamalkan Islam sepenuhnya dalam kehidupan, insyaAllah kita semua akan selamat di dunia dan akhirat. Hanya Islam yang mampu memberi penyelesaian kepada gejala sosial yang berlaku pada hari ini.

“Demi Islam”
“Islam Penyelamat Ummah”

MOHD SHAHRIZAN HAJI AHMAD FUAT
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kampar – HARAKAHDAILY 22/8/2019

- Advertisement -