‘Pulau Pinang tidak perlukan pulau’ – Mohideen

GEORGE TOWN: Pulau Pinang sebagai sebuah negeri kepulauan tidak memerlukan pulau lain yang dibina secara tambakan di perairannya, demikian tegas Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader.
 
Katanya, amat tidak rasional untuk dibangunkan pulau buatan menerusi projek mega Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR), sedangkan tanah negeri itu di daratan utama iaitu Seberang Perai masih luas di mana penggunaannya baru sekitar 50 peratus sahaja.
 
Pendirian tersebut dinyatakannya ketika menerima kunjungan muhibah Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff bersama delegasinya dan saf pimpinan PAS Pulau Pinang di Pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri, di sini kelmarin.
 
Hakikatnya kata beliau, negeri ini memerlukan pengangkutan awam yang komprehensif, malah Mohideen menyifatkan lingkaran jalan dan lebuh raya hendak dibangunkan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) juga bukan penyelesaian.
 
Jelasnya yang juga Pemangku Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) itu, rangkaian jalan dan lebuh raya baharu tetap akan menambahkan jumlah kenderaan selaku punca masalah utama negeri itu, sedangkan kesesakan trafik telah lama diusaha untuk diatasi.
 
Sebaliknya kemuka beliau, penyediaan pengangkutan awam darat perlu dipertingkatkan ke tahap lebih tinggi kerana kini penggunaannya baharu mencapai 9 peratus sahaja, bahkan Transit Aliran Ringan (LRT) langsung tidak praktikal diadakan di negeri itu.
 
Hujah Mohideen, dengan kos yang tinggi, kerajaan akan rugi kerana tidak ramai penduduk tempatan akan memerlukan penggunaannya di mana berjajaran terhad dengan setiap stesen terlalu hampir, selain ianya projek akan menguntungkan pihak pemaju berkepentingan semata.
 
Sepatutnya ujar beliau, pelan pengangkutan negeri ini perlu disediakan oleh pihak bebas yang tidak terkait oleh sebarang kepentingan, di mana Mohideen berpendirian tegas menolak PSR, PTMP dan LRT dengan harapan rakyat juga bersolidariti bersama.
 
Katanya, CAP dan SAM telah membawa semua isu tersebut sejak tahun 2014 di mana ia juga bakal memusnahkan lautan khususnya kawasan yang kaya dengan pembiakan ikan, selain pasir juga akan merosakkan lautan perairan Tanjung Piandang ke Manjung Perak. – HARAKAHDAILY 7/8/2019
IMG 20190807 WA0047