LPP dalami isu pengguna dan pekerja di Pulau Pinang

- Advertisement -
GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menjadi entiti sulung dan utama bagi Lajnah Pekerja dan Pengguna (LPP) PAS Pusat mengukuhkan hubungan telah sedia terjalin dan atas kebersamaan yang diperjuangkan selama ini.
 
Diketuai Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff, pertemuan telah dilangsungkan bersama Pemangku Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dengan disertai delegasi kedua pihak.
 
Turut serta dalam lawatan itu adalah saf pimpinan PAS Pulau Pinang antaranya Timbalan Pesuruhjaya, Norazman Ishak dan Setiausaha, Iszuree Ibrahim berkunjung ke Pejabat CAP di Jalan Masjid Negeri, di sini kelmarin.
 
Siti Zailah dalam penghargaannya kepada CAP berharap agar hubungan kedua pihak dapat terus berganding bahu untuk memastikan pembelaan ke atas hak rakyat selaku pengguna terus disuara dan diperjuangkan.
 
Malah, beliau turut menyatakan pengiktirafan mewakili PAS terhadap komitmen CAP selama 5 dekad penubuhannya memugar kesedaran awam dan mengangkat pelbagai isu melibatkan kepentingan sesuatu untuk diletak dikedudukan sewajarnya.
 
Sementara itu, Mohideen dalam aluannya mengimbau keseangkatan CAP di bawah Almarhum SM Mohamed Idris bersama PAS dari zaman Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor lagi dalam mempersada agenda ummah.
 
Beliau turut mengakui perlunya sesuatu isu dengan penglibatan baik dari entiti politik untuk menyelesaikannya dan melihat PAS sangat penting dalam mengimbangi dan memperjuangkan kepentingan berkaitan Islam dan umatnya.
 
Perbincangan yang banyak berkisar mengenai isu-isu khususnya di Pulau Pinang dan persetujuan untuk mengembleng peranan berterusan ini turut disertai Ahli Jawatankuasa Sahabat Alam Malaysia, Zulkifli Yusuf.
 
Delegasi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat juga telah disambut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff dibawa meninjau sekitar lokasi bakal projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) di Balik Pulau.
 
Sebelum mengikuti sesi penerangan isu-isu projek mega di negeri ini oleh Pengerusi Pertubuhan Warisan Tanah dan Teroka Bandar (TEROKA), Zikrullah Ismail yang turut disertai Timbalan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman.
 
Siti Zailah dan Ahmad Tarmizi yang juga Ahli Parlimen Malaysia pada sesi itu telah menyatakan kesediaan dan keperluan untuk isu-isu tersebut segera diangkat ke peringkat nasional terutamanya menerusi Sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
 
Lawatan kerja sehari itu berlarutan hingga ke malam menerusi sesi pertemuan dan dialog bersama kesatuan sekerja dan pekerja-pekerja kilang dengan kelolaan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pulau Pinang, Noor Zamri Latiff di Nibong Tebal. – HARAKAHDAILY 7/8/2019
IMG 20190807 WA0041
 
IMG 20190807 WA0039
 
IMG 20190807 WA0035
 
IMG 20190807 WA0034
 
20190807 202607
- Advertisement -