Sewa milik: 4 cadangan untuk Menteri Perumahan

- Advertisement -

SAYA ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Perumahan (KPKT), Hajjah Zuraida Kamaruddin, kerana mengumumkan skim Rent To Own yang akan dilancarkan bulan September ini. Rent To Own merupakan satu inisiatif penting yang dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri.

- Advertisement -

Ketika saya Exco Perumahan Negeri Selangor skim sama yang dinamakan DANASEL telah dilancarkan dalam tahun 2015. Skim tersebut dimulakan untuk membantu peneroka bandar Kg Rimba Jaya, Shah Alam membeli pangsapuri kos rendah yang ditawarkan kepada mereka. Di bawah skim ini, mereka menyewa pangsapuri tersebut dan mempunyai pilihan untuk membelinya apabila mereka berupaya mendapat pinjaman bank.

Berdasarkan pengalaman saya dengan skim ini, berikut adalah 4 cadangan saya untuk pertimbangan Menteri Perumahan:

1) Sebahagian dari sewa yang dibayar dari mula menyewa hingga penjualan rumah ditolak dari harga rumah.

Contohnya seorang peserta skim ini membayar sewa RM800 sebulan. Jika peserta itu membuat keputusan untuk membeli rumah selepas 5 tahun, jumlah sewa yang telah dibayar adalah RM48,000. Sekiranya 75 peratus dari jumlah ini ditolak dari harga rumah maka peserta akan mendapat diskaun RM36,000. Peserta hanya perlu membayar RM164,000 bagi rumah yang dijual dengan harga RM200,000.

2) Sekiranya peserta tidak mahu membeli rumah dan mahu berpindah, sebahagian dari sewa yang dibayar akan dipulangkan.

Seorang peserta yang membayar sewa RM800 sebulan dan membuat keputusan untuk berpindah selepas 5 tahun akan mendapat balik RM36,000 jika 75 peratus dari sewa yang dibayar dipulangkan semula. Wang yang dipulangkan dapat membantu peserta membeli rumah di tempat lain. Ketika saya Exco Perumahan Selangor terdapat skim pembayaran balik sewa seperti ini yang dinamakan SMART Sewa.

3) Jika seorang peserta gagal sama sekali mendapat pinjaman bank kerana kedudukan kewangan yang tidak mengizinkan, sewa yang dibayar akan dijadikan bayaran ansuran pembelian rumah. Terpulang kepada kerajaan untuk menentukan jumlah bulan yang perlu dibayar sebelum harga rumah itu dapat dibayar sepenuhnya. Ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun tetapi ia tidak sepatutnya lebih mahal dari pinjaman bank.

4) Harga jualan rumah adalah nilai ketika peserta mula-mula berpindah masuk dan bukan nilai semasa ketika rumah itu dijual.

Rent To Own berpotensi memastikan perumahan mampu milik dapat dimiliki oleh rakyat terutamanya mereka yang tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar deposit pinjaman perumahan atau mereka gagal sama sekali untuk mendapatkan pinjaman perumahan. Kerajaan Persekutuan dengan sumber yang besar mesti memastikan skim ini berjaya.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelaras REACH
(Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan) – HARAKAHDAILY 26/7/2019

- Advertisement -