Rukun Negara dilanggar, apa lagi perlu pertahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menasihatkan kerajaan usah terburu-buru menghapuskan Akta Hasutan sebagai usaha menyekat individu yang menyalahgunakan kebebasan bersuara yang semakin meningkat jumlahnya seperti yang berlaku kebelakangan ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menegaskan kerajaan jangan terburu-buru menghapuskan akta tersebut tetapi berusaha mengkaji dan menambah baik atau mewujudkan satu lagi akta sebagai mengekang anasir ucapan-ucapan berunsur kebencian terhadap kaum, agama dan institusi diraja yang telah disalahguna hak kebebasan bersuara.

“Sudah ada orang yang sanggup untuk menyatakan bahasa yang tidak sesuai kepada Raja-raja Melayu, ini sebenarnya merupakan perlanggaran terhadap Rukun Negara itu sendiri (iaitu) kesetiaan kepada raja dan undang-undang merupakan rukun negara.
 
“Jadi jika Rukun Negara sendiri dilanggar, maka apa lagi yang perlu dipertahankan,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di lobi Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia berkata demikian sebagai membidas kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata lima tahun lalu PAS pernah meluluskan usul mendesak akta tersebut dimansuhkan.

Kata Faiz, kenyataan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertarikh 13 Julai yang meminta kerajaan mengekalkan menunjukkan PAS membuat pusingan-U.

Bidas Ahmad Fadhli, senario lima tahun lalu yang dibandingkan oleh Faiz tidak sama seperti yang berlaku pada hari ini.

“Sudah tentu ia berdasarkan senario-senario yang ada. Lima tahun lepas, tidak ada perlanggaran terhadap norma-norma nilai Islam secara terang-terangan. Hari ini sudah ada. Orang boleh bertempik di tengah bandaraya Kuala Lumpur bertempik menyatakan sokongan terhadap LGBT, lima tahun lepas tidak ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2019

- Advertisement -