Usul isytihar harta bukan keutamaan

taki3
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan PH telah membentangkan usul untuk mewajibkan semua ahli parlimen termasuk pembangkang serta ahli keluarga mengisytiharkan pendapatan dan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan melahirkan rasa kesal kerana usul tersebut sepatutnya tidak perlu diberikan keutamaan kerana terlalu banyak perkara lain yang ada kepentingan rakyat jelata yang perlu diutamakan.

Beliau mempersoalkan adakah Peraturan Mesyuarat 27(3) dipenuhi oleh pihak Menteri sebagaimana disebut jika usul biasa perlu 14 hari notis dan jika usul di bawah atas nama Menteri dengan nama Menteri dan dikeluarkan memadai dengan tujuh hari.

Tambah beliau, sekiranya setelah diterangkan kepadanya oleh seorang Menteri, faedah kepada orang ramai sesuatu usul mustahak dibebaskan secara seberapa segera cukup hanya satu hari notis.

“Sebagai Ahli Dewan Rakyat, kita adalah pembuat undang-undang jadi apa yang penting dalam membuat sesuatu undang-undang kita mestilah mengikut undang-undang.

“Undang-undang ini sama ada Perlembagaan Persekutuan atau peraturan mesyuarat,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung PAS.

Katanya, beliau melihat tidak ada di mana-mana kedua-dua statut ini yang memperuntukkan usul seumpama ini boleh dibawa ke dalam dewan.

Jelas beliau, seperti sedia maklum selama ini sama ada kerajaan terdahulu atau kerajaan sekarang, kewajipan pengisytiharan harta ini dikenakan kepada anggota pentadbiran sahaja.

Anggota pentadbiran berhubung dengan persekutuan bermaksud seseorang yang memegang jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen atau Setiausaha Politik.

Berhubung dengan negeri, ianya seseorang yang memegang jawatan bersamaan di dalam negeri itu iaitu Ahli Mesyuarat Kerajaan atau pun Exco Kerajaan Negeri.

“Jawatan yang disebut ini sahaja sebagai anggota pentadbiran. Ahli parlimen dalam mana-mana undang-undang tidak pernah dijumpai ahli parlimen adalah anggota pentadbiran di dalam sesebuah kerajaan.

“Oleh sebab itu, setelah Pakatan Harapan membentuk kerajaan, terdapat pihak yang mencadangkan kepada PH supaya pengisytiharan harta ini dibuat oleh Perdana Menteri, Anggota Kabinet, Ketua Institusi dan sebagainya,” ujarnya.

Sebagaimana yang disebut oleh pihak Transparency International Malaysia (TIM) bertarikh 21 Mei 2018, selepas penubuhan kerajaan PH, TIM mengatakan bahawa Perdana Menteri, Anggota Kabinet serta Ketua Institusi Jabatan disaran supaya mengisytiharkan harta kepada SPRM bagi memastikan ketelusan.

TIM turut menyebut perlunya kepada pengisytiharan ini kerana ‘pengisytiharan harta ini bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan kepentingan’.

Jadi dalam hal ini, beliau mempersoalkan apakah kepentingan yang ada pada sama ada Ahli Parlimen Kerajaan atau Ahli Parlimen Pembangkang sehingga mereka diarahkan untuk mengisytiharkan harta. – HARAKAHDAILY 2/7/2019

- Advertisement -