Usul sekadar untuk kaburi mata rakyat

che abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi menyifatkan usul pengisytiharan harta dalam kalangan wakil rakyat yang dibawa di Dewan Rakyat, semalam tidak lebih dari gimik politik dalam usaha untuk mengembalikan sokongan rakyat yang telah hilang keyakinan terhadap kerajaan PH.

- Advertisement -

Beliau berkata, ia dibuat secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira punca kuasa dan kaedah yang berkesan tujuan pelaksanaan itu dibuat.

“Ia sekadar untuk mendapat political mileage konon mereka serius untuk membentuk kerajaan yang telus dan membenteras rasuah.

“PAS tidak ada masalah langsung untuk semua ahli-ahli parlimennya mengisytiharkan harta tetapi apa kaitannya kerajaan yang telus dengan pengistiharan harta ahli-ahli parlimen yang tidak ada kuasa eksekutif,” katanya.

Tambahnya, terdapat ahli-ahli parlimen kerajaan menyatakan ahli parlimen ada pengaruh dan boleh mempengaruhi.

Beliau turut mempersoalkan apakah masalah dengan mempengaruhi kerana bagi mereka yang tidak ada kuasa eksekutif, mempengaruhi tidak menjadi kesalahan baik dari undang-undang barat mahupun undang-undang Islam.

Bagaimanapun, katanya, semua contoh yang disebut oleh pembahas dari pihak kerajaan tentang teguran pemilikan harta oleh pimpinan utama, adalah terhadap mereka yang dilantik kerajaan dan mempunyai kuasa eksekutif.

“YB Menteri semasa membentangkan usul ini telah merujuk janji ke-14 dalam Manifesto PRU14 PH mengenai usaha memperkasakan pembanterasan rasuah.

“Janji ke-14 ini menyebut dengan jelas bahawa PH akan memperkasakan SPRM dengan melaporkan terus kepada Parlimen dan tidak lagi langsung di bawah Perdana Menteri,” ujarnya.

Tambahnya, perkara ini tidak dilakukan oleh mereka walaupun beliau dan beberapa ahli parlimen lain termasuk beberapa Ahli Parlimen dari pihak kerajaan yang masih ada semangat memperjuangkan ketelusan banyak kali menyebutnya di Parlimen dalam persidangan yang lalu.

Justeru, untuk menutup kebebalan itu dan mengaburi mata rakyat kononnya mereka memperjuangkan ketelusan, dengan tergesa-gesa mereka membawa usul itu yang sebenarnya tiada kaitan dengan ketelusan dalam ertikata sebenarnya.

“Mereka sebenarnya bukan pejuang ketelusan, jauh sekali penentang rasuah. Mereka hanyalah penyuci kepada rasuah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin mereka,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 2/7/2019

- Advertisement -