Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (33)

- Advertisement -

وَلَقَدْ صَرَّفْنَا فِي هَٰذَا الْقُرْآنِ لِلنَّاسِ مِنْ كُلِّ مَثَلٍ ۚ وَكَانَ الْإِنْسَانُ أَكْثَرَ شَيْءٍ جَدَلًا

- Advertisement -

“Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; walau bagaimanapun sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali perdebatannya.”

Penekanan utama ayat:

●     Contoh

Al-Quran menggunakan konsep perbandingan dengan contoh alam sekeliling bagi memudahkan seseorang memahami makna al-Quran. Selain itu contoh umat terdahulu juga digunakan bagi menunjukkan kuasa tuhan, supaya manusia mengambil iktibar. Firman Allah S.W.T:

وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ وَمَا يَعْقِلُهَا إِلَّا الْعَالِمُونَ

“Dan contoh-contoh tersebut kami bentangkan kepada manusia. Tidak mereka memahami melainkan yang berilmu.”

[al-Ankabut:43]

●     Jidal

Debat atau dalam bahasa al-Qurannya disebut jidal, menurut arRaghib bermaksud rundingan dalam bentuk pertembungan hujah dan saling memenangi antara satu sama lain. Tujuan pokok perdebatan adalah untuk mengalahkan hujah satu pihak yang lain. Sekiranya ia bukan bertujuan tersebut, seperti sekadar mengemukakan idea masing-masing, atau perbincangan untuk mencari satu penyelesaian, maka ia tidak lagi dinamakan debat menurut syarak tetapi lebih berbentuk wacana, diskusi dan seumpamanya.

Ibrah akhir zaman:

Sebagaimana mafhum ayat di atas, manusia secara fitrahnya diciptakan suka berdebat. Dari sudut positif, debat merupakan suatu wasilah yang digunakan Islam untuk memenangkan kebenaran dan menewaskan kebatilan. Contoh-contohnya banyak direkod dalam kitab suci itu sebagai panduan apabila berhadapan dengan pihak yang batil.

Contohnya Firman Allah S.W.T:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang paling baik.”

[Al-Nahl:125]

Walau bagaimanapun, di samping ayat tersebut terdapat juga ayat-ayat yang menegah dan mengutuk perbuatan jidal. Contohnya Firman Allah S.W.T:

وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَىٰ أَوْلِيَائِهِمْ لِيُجَادِلُوكُمْ ۖ

“Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah-bantah (mendebati) kamu.”

[Al-Anaam:121]

Menjadi perselisihan besar di kalangan ulamak, adakah debat atau jidal diharuskan sesama Islam. Kebanyakan tidak membenarkan kerana al-Quran hanya memberikan contoh debat dengan pihak batil dan sesat. Ramai ulamak salaf mengharamkan belajar ilmu debat sebagaimana haram mempelajari ilmu nujum. Antaranya Imam Syafie, Malik, Ahmad Hanbal dan Sufyan AtThauri. Mereka beralasankan  boleh mencetuskan fitnah dan mengelirukan orang awam. Antara sebab lain debat tidak dibenarkan kerana ianya boleh membuka pintu untuk saling membenci, saling memfitnah dan saling menjatuhkan satu sama lain. Walaupun manfaatnya mungkin ada, tetapi mudaratnya lebih besar dan jelas.

Dalam berbahas sesama Islam, ulamak menganjurkan penulisan buku-buku yang saling membincangkan hujah masing-masing secara ilmiah, ataupun berdiskusi secara tertutup bagi mengelakkan fitnah dan ujub riya’. Sekalipun ada segelintir ulamak yang membenarkan debat sesama Islam, ia tidak menjadikannya sebagai wajib untuk diadakan. Terpulang kepada individu untuk menerima atau tidak, dan sebaiknya adalah menolak untuk meraikan khilaf. Ditambah dengan ganjaran besar yang dijanjikan Nabi bagi yang menolak:

أنا زعيم ببيت في ربض الجنة لمن ترك الجدال وإن كان محقًا، وببيت في وسط الجنة لمن ترك الكذب وإن كان مازحًا، وببيت في أعلى الجنة لمن حسن خلقه 

“Aku akan menjadi penjamin istana di dasar syurga kepada mereka yang meninggalkan berdebat, walaupun mereka di pihak yang benar.”

[HR Abu Daud].

Ringkasnya, hukum debat yang masyhur terbahagi kepada dua, sama ada harus ataupun haram. Harus sekiranya bertujuan melawan kebatilan, dan haram sekiranya bertujuan selain dari itu. Tujuan debat adalah untuk mencari kebenaran, bukan mencari pemenang.

Malangnya di akhir zaman ini, budaya perdebatan semakin menjadi-jadi. Semua perkara diketengahkan ke meja perbahasan termasuklah soal-soal perkara ghaib dan keimanan yang tidak dibenarkan oleh syarak untuk diperbahaskan. Sabda Rasululullah S.A.W:

تَفَكَّرُوا فِي آلَاءِ اللَّهِ ، وَلَا تَفَكَّرُوا فِي اللَّهِ

“Fikirkanlah tentang kejadian makhluk Allah. Jangan fikirkan tentang kejadian Allah.”

[HR Thabrani]

Perdebatan yang berlaku walaupun dilapik atas alasan kebebasan akademik, namun sebenarnya lebih menjurus kepada cubaan menegakkan kebatilan dan mencabar kebenaran. Debat diolah dalam suasana yang boleh mempengaruhi pendengar supaya menyokong kebatilan dan menampakkan kebatilan sebagai benar. Antaranya dengan meletakkan penilaian debat bukan berasaskan hujah dan fakta, tetapi lebih kepada kepetahan, keyakinan penyampaian, penguasaan majlis, manipulasi emosi dan sorakan audiens.

Manusia hari ini gemar berbahas tentang semua perkara. Daripada sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya. Perbahasan yang sengaja dicipta bagi membawa kepada pertelingkahan, permusuhan, kebencian malah peperangan. Ditambah dengan media sosial yang semakin meluas, maka bertambah rancaklah pentas perdebatan sesama manusia.

Haruslah diinsafi bahawa pembudayaan debat adalah suatu tanda negatif umat akhir zaman ini yang jauh dari pedoman hidayah. Sabda Rasulullah S.A.W:

ما ضل قوم بعد هدىً كانوا عليه إلا أوتوا الجدل

“Tidaklah sesat sesuatu kaum itu selepas mereka menerima hidayah, melainkan disebabkan mereka gemar berdebat.”

[HR Ibnu Majah]

Inilah suasana yang menjadi mukaddimah kepada kemunculan Dajjal. Konsep fitnah Dajjal juga menerusi perbahasan yang tampak akademik, tetapi penuh dengan manipulasi keadaan sekitar. Hanya yang berjaya bertahan secara emosional, mental dan fizikal sahaja mampu menghadapi fitnahnya.

Sabda Rasulullah S.A.W:

إن يخرُجْ وأنا فيكم ! فأنا حجيجُه دونكم ، وإن يخرُجْ ولست فيكم ، فامرؤٌ حجيجُ نفسِه ، واللهُ خليفتي على كلِّ مسلمٍ ،

“Sekiranya Dajjal keluar sedang aku bersama kalian, nescaya aku akan berhujah mempertahankan kamu. Namun sekiranya dia keluar dan aku tidak lagi bersama kalian, maka setiap orang perlu berhujah mempertahankan diri masing-masing. Allahlah pelindung setiap muslim.”

[HR Abu Daud]

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 29/6/2019

- Advertisement -