Kerajaan DAP, pemaju cuba ceroboh tanah masjid?

- Advertisement -
GEORGE  TOWN: Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang dan pemaju Konsortium SRS dikatakan telah membuat cubaan menipu penduduk terutama anak kariah Masjid Sungai Nibong Besar, Bayan Baru.
 
Tipudaya tersebut berikutan tindakan untuk mencadangkan pengambilan tanah wakaf masjid ini meliputi tanah perkuburan Islam bagi projek pembinaan jajaran Aliran Transit Ringan (LRT).
 
Sehubungan itu, satu demonstrasi aman telah diadakan penduduk anak kariah masjid ini sebagai membantah tindakan kerajaan negeri yang disifatkan menggugat Islam di Komtar, di sini kelmarin.
 
Pengerusi NGO Teroka, Zikrullah Ismail berkata, kerana mahu berjimat dalam projek tersebut, jajaran laluannya diubah secara licik yang bakal mengambil tanah tersebut.
 
“Walaupun kononnya mereka (kerajaan negeri) berjanji akan menggantikan tanah tersebut, namun jelas terdapat manipulasi apabila cadangan perubahan ini hanya timbul selepas masjid dirobohkan.
 
“Saya harap pihak Mufti tidak berganjak atau memberi fatwa atas alasan ‘kemaslahatan’ yang akhirnya menguntungkan pemaju, namun mengkhianati umat Islam.
 
“Masjid ini bukan ‘mangsa’ pertama, bahkan nelayan di Selatan (Pulau Pinang) juga terjejas. Masjid Al-Huda di Sungai Ara juga dibimbangi terjejas dengan projek Lebuh Raya PIL 1 yang bakal ganggu rumah pengurusan jenazah.
 
“Masjid Sungai Tiram juga berada berdekatan jajaran LRT. Apakah masjid ini akan jadi mangsa seterusnya? Masjid Kampung Binjai telah dipencilkan oleh jalan raya besar disamping masuk dalam jajaran LRT,” ujarnya.
 
Beliau juga berkata, pemaju mempunyai ‘motivasi’ pada projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) yang akan memberi keuntungan amat besar dari manipulasi pelbagai terhadap muka bumi dan penduduk.
 
Jelas Zikrullah, PSR yang menjadi sebahagian pakej projek LRT beranggaran potensi pulangan pelaburan RM46 bilion di mana akan mendanai projek LRT bernilai RM9 bilion itu.
 
“Ini sebenarnya pencerobohan terhadap geobudaya orang Melayu Islam melalui pembangunan yang dibuat beracuankan kerakusan kehalobaan pemaju selaku rakan kongsi kerajaan negeri.
 
“Sosio-budaya masyarakat Melayu terus dihimpit, bahkan rakyat mustad’afin terus ditindas. Inilah penjajahan bentuk baru. Umat mesti bangkit dan bangun,” ujarnya mengajak kesatuan. – HARAKAHDAILY 22/6/2019
IMG 20190622 WA0013
 
IMG 20190622 WA0012
 
IMG 20190622 WA0010
- Advertisement -