Agenda ‘Malaysian Malaysia’ DAP jadi nyata

- Advertisement -
KUANTAN: Agenda DAP iaitu Malaysian  Malaysia kini telah menjadi nyata sejak ia diikrarkan mendiang Lee Kuan Yew, menerusi kemenangan DAP memerintah Malaysia bersama PH selepas PRU14.
 
Perwakilan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Dato’ Mohd Shahir berkata, DAP hari ini menjadi seperti ‘kaduk naik junjung’ membawa gagasan tersebut yang mahu menghapuskan Kontrak Sosial.
 
Jelas beliau, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera turut dikesampingkan untuk menjadikan semua kaum setaraf, selain cuba memisahkan agama dengan menjadikan negara ini sekular.
 
“Habis kepentingan dan status  quo yang ada mahu dan telah dirubah dan dipunggah. Ratifikasi ICERD dan Statut Rom mujur gagal. Semua adalah hasil kerja tangan mereka, iktiraf UEC, lulus peruntukan sekolah Cina.
 
“Agih bantuan zakat, jejak kaki ke surau masjid; usaha ini untuk gelapkan mata orang Melayu (tetapi) pertikai kuasa Raja-raja Melayu,” ujarnya di Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di sini hari ini.
 
Di Selangor katanya, titah Sultan supaya papan tanda jalan jangan bertulis selain bahasa kebangsaan dan tulisan jawi telah diingkari mereka secara terang-terangan.
 
Malah ujarnya, PH hari ini turut mempertikaikan kandungan teks khutbah Jumaat, mahu semak kurikulum Pendidikan Islam, beri hak amalan songsang LGBT dan banyak lagi dengan kuasa ada pada mereka.
 
Sehubungan itu, beliau menyeru umat Melayu Islam menyedari realiti penipuan dan cabaran serta ancaman sedang dihadapi terhadap masa depan Islam dan kedudukan orang Melayu agar tidak jadi Singapura kedua. – HARAKAHDAILY 22/6/2019
- Advertisement -