Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (31)

- Advertisement -

مَّا أَشْهَدتُّهُمْ خَلْقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَا خَلْقَ أَنفُسِهِمْ وَمَا كُنتُ مُتَّخِذَ الْمُضِلِّينَ عَضُدًا 

- Advertisement -

“Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain; dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.”

وَيَوْمَ يَقُولُ نَادُوا شُرَكَائِيَ الَّذِينَ زَعَمْتُمْ فَدَعَوْهُمْ فَلَمْ يَسْتَجِيبُوا لَهُمْ وَجَعَلْنَا بَيْنَهُم مَّوْبِقًا

“Dan (ingatkanlah) masa Allah berfirman: “Panggilah sekutu-sekutuKu yang kamu katakan itu (untuk menolong kamu); lalu mereka memanggilnya, tetapi sia-sia sahaja, kerana makhluk-makhluk itu tidak menyahut seruan mereka: dan kami jadikan untuk mereka bersama sebuah tempat azab yang membinasakan.”

Penekanan utama ayat:

●     Saksi

Penyaksian merupakan kaedah yang dikenali di dalam Islam bagi mensabitkan sesuatu perkara. Ayat ini secara mafhum mukhalafah memberi maksud sekiranya Syaitan menjadi saksi penciptaan langit dan bumi, maka ada asas untuk mereka menjadi sekutu kerana penyaksian adalah unsur yang kuat dalam pembuktian, selain petunjuk-petunjuk qarinah. Namun itu semua adalah mustahil dengan kuasa Allah.

●     Orang kuat atau orang kanan

Kata kunci bagi golongan ini disebut sebagai bithonah (بطانة) atau wali (ولي) atau wazir (وزير). Mereka adalah orang kepercayaan bagi tujuan menasihat, membantu, mewakili dan mencadangkan kepada pemimpin atau tokoh. Tuhan jadikan manusia memerlukan pembantu walau sehebat manapun mereka. Justeru perlu memilih yang baik supaya tidak rosak kerana salah pilih pembantu.

●      Syafaat kiamat

Di akhirat kelak, hanya kuasa tuhan sahaja yang boleh menentukan nasib kita. Tidak ada lagi pembantu dari kalangan makhluk lain sebagaimana di dunia ini. Sekiranya kita memilih untuk melanggar syariat Allah di dunia ini kerana merasakan telah cukup kuat dengan bantuan orang sekeliling, maka akhirat kelak tuhan akan abaikan mereka daripada menerima bantuan tuhan.

Ibrah akhir zaman:

Ayat ini menyambung perbahasan ayat lepas mengenai sikap manusia yang menjadikan Iblis sebagai wali. Allah menegaskan bahawa Dia tidak pernah menjadikan Iblis dan Syaitan-Nya sebagai orang kepercayaan dalam kekuasaanNya. Dia juga mengancam mereka yang menjadikan Iblis dan Syaitan sebagai wali itu, akan menerima azab yang membinasakan.

Allah S.W.T telah berpesan supaya tidak menjadikan orang-orang kafir sebagai golongan kepercayaan, penasihat atau pembantu. Firman Allah S.W.T:

لَّا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّـهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَن تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّـهُ نَفْسَهُ ۗ وَإِلَى اللَّـهِ الْمَصِيرُ

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.”

[Ali ‘Imran:28]

Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.”

[Ali ‘Imran:118]

Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.”

[Al-Maidah:51]

Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ ۙ أَن تُؤْمِنُوا بِاللَّـهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي ۚ تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنتُمْ ۚ وَمَن يَفْعَلْهُ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (S.A.W) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul.”

[Al-Mumtahanah:1]

Malangnya apa yang berlaku hari ini, terdapat umat ini yang menjadikan orang-orang kafir sebagai sekutu rapat hingga membelakangkan sesama Islam. Segala ‘fatwa’ atau polisi sekutu mereka sentiasa disokong penuh walaupun perkara tersebut merugikan nasib umat Islam sejagat.

Selepas era kejatuhan Uthmaniyyah, negara-negara yang dijajah oleh Barat telah diberikan syarat sekiranya mahu kembali merdeka. Antaranya supaya menyokong dasar dan polisi mereka serta tidak menentang mereka. Terdapat kelompok yang cintakan agama dan bangsa tidak bersedia memenuhi syarat tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat kelompok yang telah dibutakan sebelah pandangan mata hatinya sanggup menerima tawaran tersebut. Kelompok kedua itulah yang dipilih oleh penjajah sebagai pewaris takhta pemerintahan selepas mereka.

Selepas berjaya menghasut Gabenor Hejaz, Syarif Husain bagi melancarkan serangan terhadap Uthmaniah dikenali dengan Great Arab Revolt tahun 1916, British meminta agar diserahkan tanah Palestine kepada Yahudi. Walau bagaimanapun, Syarif Husain enggan kerana menurut perjanjian, beliau hanya akan ditabalkan menjadi khalifah sekiranya membantu British menentang Uthmaniah.

British dalam waktu yang sama berpakat pula dengan Abdul Aziz bin Saud, pemimpin kabilah Bani Saud yang memerintah wilayah Najd supaya diberikan Palestin kepada Yahudi. Sebagai balasan, Bani Saud akan dibantu untuk memerintah Semenanjung Arab bersama beberapa kabilah lain yang turut membantu. Akhirnya Bani Saud bersetuju lalu mereka menyerang dan menawan Hejaz daripada Syarif Husein dengan bantuan ketenteraan oleh British. Tahun 1932, tertubuhlah negara Arab Saudi, Qatar, UAE dan Kuwait hasil pakatan mereka dengan British yang memusuhi Islam.

Inilah sejarah yang menyebabkan Arab Saudi begitu menikus dalam isu-isu ummah terutama isu Palestin, kerana mereka tahu pemerintahan mereka selama ini dibantu oleh Barat. Bahkan hari ini mereka menjadi kuda tunggangan dalam agenda Deal Of The Century, strategi untuk menakluk Baitulmaqdis dan memindahkan Palestin ke peta lain di Mesir. Saudi menawarkan dana lebih 40 billion USD kepada pihak-pihak yang terlibat bagi menjayakan misi perjanjian terbesar abad ini.

Sejarah telah menunjukkan apabila musuh sudah tidak lagi memerlukan sesuatu daripada rakan sekutu, maka mereka akan hapuskan rakan terbabit. Inilah yang pernah berlaku kepada Saddam Hussein. Setelah dipergunakan dalam perang Iraq-Iran 1980, dia pula diserang bermula perang Iraq-Kuwait hinggalah beliau ke tali gantung. Begitulah juga nasib Osama ben Laden, ISIS dan seumpamanya.

Jalan paling baik adalah mengikuti saranan Ilahi agar tidak sekali-kali bersekongkol dengan musuh Islam. Bina kekuatan sendiri tanpa mengharapkan sesiapa selain sama-sama orang Islam yang memiliki ciri-ciri sebagaimana firman Allah S.W.T ini:

وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ أُوْلَٰٓئِكَ سَيَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٞ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

[At-Tawbah: 71]

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 10/6/2019

- Advertisement -