Iftar erat hubungan PAS bersama bukan Islam

- Advertisement -
GOPENG: Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Negeri Perak telah menganjurkan Iftar Muhibah yang turut dihadiri 45 individu bukan Muslim di Wisma Purnama, Lahat, di sini semalam.
 
Pengarah Iftar, Farah Foo Wai Yee berkata, tujuan program ini adalah bagi memperkenalkan cara hidup Muslim selain membina sikap saling memahami dan hidup harmoni dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
 
Manakala menurut Pengerusi LPN PAS Pusat, Dr Najihahtussolehah Ahmad, dalam tempoh 9 tahun tertubuhnya LPN, pelbagai aktiviti dan kempen telah dianjurkan bagi memperkenalkan Islam kepada bukan Muslim.
 
Pada masa sama menurutnya, program murni seperti ini dapat mengeratkan silaturahim, selain mengikis sentimen perkauman dan keagamaan membabitkan pengikut dan penganut pelbagai agama.
 
Turut memberi ucapan adalah Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, Balasubramaniam Nachiappan yang mengakui hubungan PAS dengan bukan Muslim bertambah baik sejak tertubuhnya DHPP. 
 
Sementara itu,Yang DiPertua PAS Kawasan Gopeng, Ustaz Abu Bakar Hussien berkata, program ini menunjukkan keterbukaan pemimpin PAS di Perak untuk bersama-sama melakukan perkara yang baik lagi bermanfaat.
 
“Kita tidak mahu wujud persengketaan yang akhirnya memberi kesan buruk kepada negara tercinta yang kita diami bersama. Perpaduan dan saling mengenali serta menghormati mampu menyatukan kita, manakala perbalahan hanya membawa keburukan,” ujarnya.
 
Turut hadir wakil dari NGO Multiracial Reverted Muslims (MRM), Robert Ta Honn Yu atau Ahmad Hafizh Amiruddin Ta Abdullah dan Ketua DHPP Perak, Surianarayanan Sannasy Naidu dan Ketua Wanita DHPP, Punidha @ Pachaiamma Subramaniam.
 
Majlis turut diceriakan dengan kehadiran kanak-kanak dari pelbagai kaum yang mana mereka saling bergaul antara satu sama lain tanpa rasa kekok. – HARAKAHDAILY 29/5/2019
IMG 20190529 WA0070
 
IMG 20190529 WA0073
- Advertisement -